4 fakta unik ‘pemain’ baharu Squid Game 2

SELEPAS mencipta fenomena global hingga menjadi ikon industri hiburan Korea Selatan, kehadiran musim kedua Squid Game bagaikan ledakan yang dinanti dunia.

Siri berkenaan tidak hanya menjanjikan plot lebih mendebarkan, tetapi barisan pelakon baharu yang membawa aura segar dan penuh teka-teki. 

Siapa sangka di sebalik wajah baharu kali ini, tersimpan kisah mengejutkan, bahkan ada yang tidak pernah dijangka.

Daripada selebriti serba boleh hingga bintang yang pernah hampir meninggalkan dunia seni, Squid Game 2 kini menjadi pertemuan epik antara bakat dan keberanian. 

Kimchi Panas minggu ini membongkar kisah empat pelakon baharu Squid Game 2 yang bakal mencipta fenomena tersendiri. 

Gabungan pengalaman, keunikan, dan semangat mereka menjanjikan sebuah pengalaman menonton yang tidak akan dilupakan.

Yang Dong-geun

Yang Dong-geun atau lebih mesra dikenali sebagai YDG bukan sekadar pelakon bahkan penyanyi rap yang sudah mencipta nama dalam dunia muzik. 

Gabungan seni muzik dan lakonan menjadikannya figura unik yang sering mencetuskan kelainan pada setiap wataknya.

Dalam Squid Game 2, lelaki  berusia 45 tahun itu membawa watak Yong-sik (No. 007), seorang penjudi tegar yang bergelut dengan hutang menimbun. 

Lebih menyayat hati, dia mendapati ibunya sendiri turut menjadi peserta dalam permainan ini, mencetuskan konflik moral yang mendalam sepanjang cerita.

Gaya lakonannya yang eksentrik pasti memberi nafas baharu kepada siri penuh ketegangan ini.

“Watak ini mencabar dan menyeronokkan pada masa yang sama. Saya mahu membuatkan penonton rasa tidak selesa, tetapi dalam cara yang mereka tidak jangka,” katanya.

Jo Yu-ri

Jo Yu-ri yang juga bekas ahli kumpulan IZONE, kini mencipta ruang baharu dalam kerjayanya sebagai pelakon. 

Penyertaannya dalam Squid Game 2 dilihat sebagai langkah berani untuk meninggalkan dunia idol buat semenatar waktu dan membina identiti baharu.

“Saya mahu dikenali sebagai pelakon. Ini cabaran besar, tetapi saya sanggup mengambil risiko,” katanya dengan penuh tekad.

Idola berusia 23 tahun itu membawa watak Jun-hee (No. 222), seorang wanita berpendirian tegas yang menyertai permainan maut itu akibat pelaburan buruk berdasarkan nasihat seorang  pempengaruh.

Wataknya yang penuh dengan emosi dan konflik menjadikannya antara pelakon  paling dinantikan dalam siri ini. Kesanggupan Yu-Ri juga keluar dari zon selesa juga mengagumkan peminat.

Yim Si-wan

Yim Si-wan mula mencipta bersama kumpulan ZE:A tetapi kini melangkah ke arena lakonan dengan watak yang menjanjikan transformasi luar biasa. 

Namun, ramai tidak tahu, di sebalik wajahnya yang tenang, dia sebenarnya seorang genius matematik yang pernah ditawarkan biasiswa penuh di universiti terkemuka Korea.

Pelakon Misaeng itu sebelum ini sering dikenali dengan watak baik hati dan penuh kesabaran namun, untuk Squid Game 2, dia perlu mencabar dirinya dalam watak gelap penuh manipulasi, menjadikan perjalanan seninya semakin matang.

Dia membawa watak Myung-gi (No. 333), bekas influencer mata wang kripto yang kehidupannya musnah selepas kerugian besar akibat pelaburan tidak terkawal. 

Lebih tragik, pengikutnya juga terjejas, membuatkan dia menjadi pelarian sebelum terlibat dalam permainan maut ini.

Apa yang mengejutkan, jejaka tampan itu mengakui hampir menolak tawaran ini kerana khuatir tidak mampu memenuhi ekspektasi tinggi selepas kejayaan musim pertama. 

Kang Ha-neul

Tidak ramai tahu, sebelum terkenal, Kang Ha-neul pernah bergelar guru seni lakon di sebuah akademi seni di Seoul.

Dia mendidik generasi muda untuk mencintai lakonan sebelum akhirnya memutuskan untuk kembali ke layar perak dan membuktikan bakatnya di hadapan kamera.

Aktor berusia 34 tahun yang memukau ramai menerusi filem Midnight Runners itu kini bersedia untuk meneroka sisi baharu dalam dirinya dengan watak yang penuh rahsia dalam Squid Game 2. 

Ha-neul membawa watak Dae-ho (No. 388), seorang lelaki lantang dan penuh keyakinan, sering membanggakan dirinya sebagai bekas anggota marin. 

Dae-ho menjadikan Gi-hun, pemenang musim pertama, sebagai mentornya selepas mendengar kisah survival luar biasa lelaki itu.

Watak Dae-ho bukan sekadar individu lantang, malah menyimpan trauma mendalam yang hanya terungkap apabila permainan berlangsung.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok