BUKAN satu hal yang manis untuk diingat, tetapi insiden suara sumbang pada Februari lalu membuatkan hubungan sesama ahli kumpulan The Gadys semakin utuh.
Berhadapan dengan serangan kecaman warga maya, biarpun tidak berdarah tetapi peristiwa hitam tersebut tetap kekal menjadi sejarah yang tidak dilupakan.
Bagaimanapun anggota The Gadys iaitu Thamiera Chan, Ayunie Rizal dan Aznie Azmi tidak tewas di medan pertempuran. Masing-masing membulatkan hati untuk meneruskan perjuangan dan memperjudikan nasib sebagai anak seni.
Buktinya The Gadys hadir dengan lagu baharu bertajuk Bullseye, sebuah refleksi atas apa yang berlaku terhadap mereka sepanjang tahun ini.
Dihasilkan oleh Romeo dan Shane Kennedy, lagu Bullseye merupakan sebuah single sarat semangat dan keyakinan.
Kata Ayunie, Bullseye membuka cabang genre muzik baharu, sekali gus membawa mereka keluar dari zon selesa.
Ritma muzik mereka yang kebanyakan menjurus ke arah dangdut kini sudah bertukar arah.
“Memang kami puas hati dengan lagu ini sebab sebelum ini lebih berentak dangdut pop. Jadi kali ini tampil dengan kelainan dan tidak lagi berada di dalam relung selesa.
Semangat
“Diharapkan lagu ini mendapat sambutan baik daripada peminat. Lagu ini juga menggambarkan tentang perjuangan dan semangat kami dalam industri,” katanya saat mengulas tentang kejadian menyanyikan lagu Cintaku Sampai Ke Ethiopia pada Anugerah KNKV Viral 2024.
Luah Aznie, lagu Bullseye menguji kemampuan nyanyian mereka, sekali gus meningkatkan kualiti vokal, terutama saat membuat persembahan secara langsung.
“Awalnya kami agak terkejut apabila mendapat lagu ini. Sejujurnya membawakan lagu ini agak mencabar kerana ada lirik dalam bahasa Inggeris dan setiap sebutan itu perlu jelas.
“Sebelum membuat rakaman di studio, kami mengambil masa sekitar sebulan lebih menghadiri kelas vokal bersama Cikgu Dally.
“Kami akan terus berlatih sehinggalah guru vokal benar-benar yakin bahawa kami sudah bersedia untuk membuat rakaman. Sewaktu rakaman juga cikgu ada bersama membantu sepanjang proses rakaman,” jelas Aznie bersungguh-sungguh.
Insiden suara sumbang juga telah menjadi pemangkin buat The Gadys untuk sentiasa berusaha memberikan yang terbaik.
Menurut Ayunie, proses belajar vokal bukan sahaja mencambahkan keyakinan, tetapi turut membina semangat agar tidak mudah mengalah dalam mengejar cita-cita sebagai penyanyi.
“Penerangan cikgu juga jelas dan terperinci meskipun pada awalnya sukar untuk difahami, tetapi akhirnya saya okey.
“Cikgu tidak garang dan bukan jenis marah-marah. Apabila saya salah dan tidak faham, cikgu tetap sabar,” jelasnya.
Mengulas lanjut, kelas vokal yang diambil dibuat sebanyak tiga kali seminggu membantu mereka untuk membuat transisi menjadi lebih baik. Biarpun masih dalam proses pembelajaran, The Gadys tetap optimis dan tidak mudah mengalah.
“Tidak dinafikan vokal kami memang lemah, tetapi kami tetap berusaha untuk memperbaiki dan berikan yang terbaik.
“Memang masih banyak lagi yang perlu dipelajari, tetapi kami tidak jemu untuk memperbaiki diri agar perkara sama itu tidak berulang,” katanya.
Biarpun mengambil kelas vokal, tetapi Ayunie mengakui The Gadys masih memerlukan banyak latihan bagi membentuk kekuatan agar dapat menembusi pasaran antarabangsa.
Bukan bertujuan untuk bersaing dengan sesiapa, The Gadys sebaliknya menjadikan kejayaan masuk ke pasaran luar sebagai pemacu semangat untuk mengukuhkan kedudukan dalam industri hiburan.
“The Gadys belum cukup ilmu untuk membuat persembahan di luar negara. Banyak lagi yang kami perlu dipelajari dan perjalanan ke arah itu masih jauh. Jika ada peluang kami tidak teragak-agak untuk mencuba.
“Perasaan gementar itu ada dan kami tertanya-tanya bagaimana mereka boleh melakukannya. Apabila kami sudah bersedia nanti, insya-Allah akan berikan yang terbaik dan tidak menghampakan,” jelas Ayunie dengan penuh semangat positif.
The Gadys juga terbuka apabila ada pihak yang membandingkan mereka dengan kumpulan lain seperti Dolla. Mereka juga tidak terkesan dengan kritikan netizen yang dilihat – HIBGLAM