Malaysia sebuah negara yang cantik – Udit Narayan

Malam di Megastar Arena bagaikan berubah menjadi pentas magis apabila Raja Melodi Bollywood, Udit Narayan, menggegarkan jiwa kira-kira 3,000 peminat setianya.

Suara emas penyanyi berusia 69 tahun itu membuktikan bahawa usia hanyalah angka kecil dalam perjalanan gemilang seninya.

Mengangkat tema nostalgia dan cinta, Udit memulakan persembahan kira-kira jam 9 malam dengan kemunculan dramatik melalui pentas hidraulik.

Susuknya yang penuh aura itu disambut dengan sorakan tidak putus-putus.

Tidak sedikit pun suara emasnya terganggu, meskipun mendendangkan lagu bernada tinggi dengan penuh tenaga hingga ke penghujung konsert hampir dua jam kemudian.

Sepanjang persembahan, Udit seolah-olah membawa penonton mengembara ke dunia Bollywood.

Setiap lagu yang dinyanyikan bagai memutar kembali memori indah dalam filem-filem ikonik seperti Mann, Dilwale Dulhania Le Jayenge dan Kaho Naa… Pyaar Hai.

Rangkaian lagu seperti Nasha Yeh Pyaar Ka Nasha, Kuch Kuch Hota Hai dan Tinak Tin Tana menjadi antara kemuncak malam itu mencuri hati penonton tanpa henti.

“Salam sejahtera Malaysia, sebuah negara yang cantik.

“Saya seronok dapat kembali ke sini selepas kali terakhir kira-kira 12 tahun lalu.

“Saya berterima kasih kepada penganjur kerana mengundang saya malam ini,” ujar Udit penuh takzim membuatkan penonton larut dalam emosi kegembiraan.

Sepanjang kerjayanya lebih empat dekad, Udit telah meminjamkan suaranya kepada lebih 25,000 lagu dalam 36 bahasa, termasuk untuk bintang legenda seperti Amitabh Bachchan, Datuk Shah Rukh Khan, Salman Khan, dan Hrithik Roshan.

Setiap lagu yang dinyanyikan malam tadi menggambarkan kehebatan seninya yang tiada tandingan.

Bagi peminat, setiap bait lagu yang didendangkan bagaikan hadiah berharga.

Persembahan malam tadi bukan sekadar sebuah konsert, tetapi satu pengalaman yang menyentuh jiwa, meninggalkan kenangan yang akan dikenang selamanya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok