BENARLAH kata orang, pelangi pasti akan muncul selepas hujan.
Itu dirasai Shila Amzah sepanjang 2024 selepas lelah menempuh pelbagai dugaan terutama pada tahun lalu.
Jika disingkap semula, tentunya kemelut keluarganya yang pasti meninggalkan bekas dalam ingatan ramai. Dilempar dengan pelbagai tuduhan, Shila kekal utuh dengan prinsipnya iaitu terus mengutamakan kebahagiaan sendiri berbanding orang lain.
Baginya, mengutamakan diri sendiri adalah penting untuk memastikan emosi dan jiwa lebih tenteram.
2024
“Tahun ini bukan pengajaran sangat sebenarnya tetapi lebih kepada belajar mengutamakan keputusan untuk diri sendiri.
Sebelum ini saya utamakan keperluan orang lain tetapi sepanjang tempoh kehamilan anak kedua, saya memang letak kehendak dan keperluan sendiri sebagai prioriti.
“Bukan pentingkan diri sendiri tetapi sebenarnya semua itu macam healing process (proses penyembuhan),” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Baginya, proses penyembuhan itu juga memberinya peluang untuk mengenali dan mempelajari kehendak diri yang sebelum ini bukan menjadi keutamaan.
“Bila jiwa sembuh, ibarat beri harapan baharu untuk diri sendiri.
Semua perkara dan situasi yang berlaku juga mematangkan diri saya terutama dalam membuat sebarang keputusan,” jelas pelantun lagu Patah Seribu itu.
Dari satu sudut lain, 2024 juga mengajar pemilik nama penuh Nurshahila Amir Amzah itu untuk yakin dengan setiap bentuk rezeki yang Tuhan tetapkan.
“Adakalanya seronok melihat perkembangan seni rakan seperjuangan tahun ini yang hasilkan album, mengadakan konsert solo dan sebagainya.
“Keinginan untuk merasai semua itu memang ada tetapi saya sentiasa percaya rezeki akan hadir pada waktu yang tepat, tidak perlu rasa tamak atau cemburu.
Apa pun saya kini belajar berdamai dengan takdir dan menerima segala yang berlaku dengan cara lebih matang selain bahagia dengan keluarga kecil saya,” tuturnya yang baru menimang cahaya mata kedua, Rhea Akira pada Mei lalu.
Dalam masa sama, dia juga bersyukur dengan setiap perkara yang mewarnai lukisan hidupnya meski tidak pernah terlepas daripada merasai burn out atau kepenatan dengan tekanan kerja.
“Syukur, saya tak mahu cakap fasa bahagia sangat sebab ada juga hari yang kurang baik dan sebagainya.
“Ada juga fasa saya ‘burn out’. Ditambah pula saya kini sibuk dengan proses penghasilan album baharu tetapi alhamdulillah hidup masih berjalan dengan baik,” katanya lagi.

SHILA bersama Ubai dan anak mereka, Rhea Akira serta Seth yang kini semakin petah berbicara biarpun mengalami autisme.
Ubai, anak
Berkongsi tentang anak sulungnya, Seth Uwais yang juga kanak-kanak autisme tahap satu, dia bersyukur dengan perkembangan positif yang ditunjukkan selepas menjalani terapi sejak beberapa bulan lalu.
Kata Shila, suaminya iaitu Ubai sangat membantu dalam perkembangan Seth sepanjang tahun ini.
“Kehadiran Ubai sangat membantu Seth, saya bersyukur sangat.
Sebelum ini saya pernah hantar pergi terapi tetapi tidak berjaya. Rupa-rupanya dia perlukan figura seorang bapa yang boleh pujuk dan tunjuk sebab Seth adalah ‘visual learner’.
“Banyak benda yang saya tak dapat nak ajar seperti ‘putuskan’ penggunaan lampin pakai buang. Kadang-kadang saya tak sampai hati nak bertegas tapi Ubai ada ketegasannya sendiri tetapi anak tetap sayang,” jelasnya.
Shila menambah, perkembangan yang ditunjukkan Seth hari ini juga adalah usaha serta didikan Ubai sebagai seorang ayah.
“Seth memang tunjukkan perubahan ketara dari segi penampilan, cara komunikasi dan pergaulan. Saya memang beri kredit kepada Ubai kerana dia memang beri fokus penuh terhadap keperluan Seth.
Selalunya semua diserahkan kepada ibu tapi dengan kehadiran Ubai sebagai bapa, memang ada hasil positif. Ubai tegas tetapi sangat sayangkan anak-anak. Adakalanya Seth akan ‘back up’ Ubai,” ujarnya.
Shila juga mendedahkan kekerapannya berkongsi tentang Seth turut mengundang banyak respons daripada ibu bapa lain yang meluahkan mengenai cabaran menjaga anak autisme.
Dia juga menyarankan golongan ibu bapa memiliki anak yang mempunyai masalah gangguan spektrum itu tidak hidup dalam penafian dan belajar menerima ketentuan takdir.
“Saya banyak terima perkongsian daripada ibu bapa lain di mesej (DM). Ada juga saudara mara ibu bapa menafikan anak mereka autisme, mereka meluah sehingga saya pun terkejut.
“Anak-anak istimewa seperti ini perlukan ibu bapa yang bertindak terlebih dahulu.
Kalau mereka tak boleh terima tentang autisme, perkara itu akan beri kesan negatif pada masa akan datang termasuk aspek pembelajaran dan sebagainya, kasihan mereka,” tuturnya menggulung bicara.