2024 pesta artis turun naik mahkamah syariah

TAHUN 2024 menyaksikan ramai selebriti popular tanah air memilih jalan perceraian, sekali gus mereka naik turun mahkamah seakan-akan tidak berkesudahan.

Bukan calang-calang nama yang bercerai dan pastinya ada beberapa mengejutkan ramai malah sehingga kini masih menjadi bahan bualan ramai.

Sepanjang 2024, sekitar 15 rumah tangga pasangan popular yang runtuh, antaranya Fattah Amin dan Fazura, Bella Astillah dan Aliff Aziz, Nora Danish dan Nedim Nazri, Emma Maembong dengan Muhammad Shazli Azhar, Syamsul Yusof ceraikan Ira Kazar serta Que Haidar serta Linda Jasmine.

Kaka Azraff dan Azriff, Harith Iskander dengan Dr. Jezamine Lim, Datuk Fazley dan Azrene Soraya, Adira dan Datuk Red tidak ketinggalan memasuki carta perceraian selebriti tahun ini.

Dalam masa sama, Hisyam Hamid, Erynne Erynna, Jay Iswazir, Dottie dan Idzham Ismail juga antara selebriti yang memilih haluan sendiri mencari damai barangkali.

Lebih panas, pasangan yang pernah bercerai dan rujuk kembali, Diana Danielle dan Farid Kamil kembali bergelegak apabila sekali lagi ke mahkamah syariah untuk bercerai buat kali kedua.

Sebagai sisipan penutup 2024, berikut pilihan perceraian paling sensasi pilihan HibGlam.

Adira, Datuk Red

Penyanyi Adira Suhaimi dan Datuk Seri Adnan Abu atau Datuk Red sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Kuang, Selangor pada 24 April lalu.

Adira memfailkan perceraian pada 25 Oktober 2023 dan pernah membuat permohonan sama pada 2019 tetapi ditarik semula.

Pasangan terbabit bernikah di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 dan Adira ketika itu bergelar isteri kedua.

Meski sudah berpisah, hubungan mereka kekal baik malah Adira mengakui ikatan yang terlerai itu bakal bertaut kembali.

Aliff Aziz, Bella Astillah

MENJADI antara perceraian paling kontroversi tahun ini, Aliff Aziz dan Bella Astillah berpisah talak satu buat kali kedua pada 13 Jun lalu.

Rumah tangga mereka tidak dapat diselamatkan selepas aktor juga penyanyi itu didakwa berkhalwat dengan pelakon Ruhainies di sebuah kondominium mewah di ibu negara pada 9 Mac lalu.

Mereka berkahwin pada 9 September 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohamad Ayden Adrean, 7, dan Ara Adreanna, 4.

Nora Danish, Nedim Nazri

DIANGGAP pasangan romantis, perceraian Nora Danish dan Nedim Nazri tetap mengejutkan biarpun sudah berbulan berbulan mereka tidak lagi sebumbung.

Nora dan Nedim bersetuju berpisah secara baik menerusi prosiding yang berjalan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur pada 19 Jun lalu.

Nedim yang juga ahli perniagaan melafazkan talak satu di hadapan Hakim Syarie, Abdul Fattah Datuk Kamarudin pada pukul 8.34 malam secara cerai ekspres.

Begitupun, persahabatan mereka meraih pujian apabila masing-masing masih berhubung baik demi anak-anak.

Nora dan Nedim yang mendirikan rumah tangga pada 30 Mac 2017 dikurniakan seorang putera, Mohamed Neqayl berusia enam tahun, 6.

Que Haidar, Linda Jasmine

BIJAK menyimpan rahsia, Que Haidar akhirnya mengakui sudah bercerai dengan Linda Jasmine pada 2 Julai lalu selepas 15

tahun hidup bersama. Que menerima ketentuan Ilahi bahawa jodoh tidak panjang namun tetap mengekalkan hubungan baik dengan bekas isterinya.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 14 Februari 2009 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Ratu Haidar, 15 dan Tengku Cleopatra Hairdar 12 tahun.

Harith Iskander, Dr. Jezamine Lim

MAHLIGAI bahagia yang dibina Harith Iskander dan Dr. Jezamine Lim selama 14 tahun musnah apabila sah bercerai talak satu pada 25 Julai lalu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

Tidak mendedahkan punca perpisahan, Harith mengakui kemelut rumah tangga mereka berpunca daripada kesilapan dirinya sendiri.

Terdahulu, Harith dan Jezamine mendirikan rumah tangga pada 12 Jun 2010 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Zander Xayne, 14, Allesandra Jayne, 11, dan Zydane Zayne, 9 tahun.

Syamsul Yusof, Ira Kazar

HANYA sempat 21 bulan mendirikan rumah tangga, pasangan sensasi Syamsul Yusof dan Ira Kazar disahkan bercerai pada 5 September lalu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor.

Perceraian mereka disahkan selepas wujud pelanggaran taklik oleh Ira sebanyak lima kali sejak 12 Ogos lalu.

Sehingga kini, kedua-duanya mengunci mulut punca perceraian tersebut.

Sebelum itu, mereka pernah menjadi mangsa kecaman orang ramai apabila mengesahkan sudah bernikah pada 6 Januari tahun lalu di Selatan Thailand ketika Syamsul masih bergelar suami kepada pelakon Puteri Sarah Liyana.

Fazura, Fattah Amin

MEMBUATKAN ramai terdiam malah ada yang menangis apabila Fazura nekad memfailkan cerai terhadap Fattah Amin pada 13 September lalu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Shah Alam.

Meskipun Fattah mengakui masih menyayangi Fazura, dia bagaimanapun melafazkan talak satu terhadap aktres itu pada 7 Oktober lalu.

Tidak berdiam diri, Fazura turut mendedahkan Fattah gagal memberi nafkah selain bermain kayu tiga pada hari perceraian mereka.

Perpisahan mereka merupakan kes cerai selebriti tempatan berprofil tinggi tahun ini.

Fattah dan Fazura mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017, dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Nur Fatima Aisya yang kini berusia empat tahun.

Bagaimanapun, hak penjagaan penuh Fatima diserahkan kepada Fazura manakala Fattah mendapat hak lawatan beberapa kali dalam sebulan.

Lebih mengejutkan, Fattah menjadi fenomena selepas tidak lagi bergelar suami orang apabila dihujani pelbagai tawaran sebagai duta produk dan lakonan.

Emma Maembong, Shazali

PELAKON, Emma Maembong turut memilih bulan Oktober untuk mengumumkan perceraian dengan bekas suaminya, Muhammad Shazli Azhar

Emma, 32, yang sudah tamat tempoh idah ketika mengumumkan perceraiannya memilih untuk merahsiakan perceraian tersebut kerana enggan merumitkan keadaan.

Emma turut memaklumkan hubungannya dengan bekas suami masih baik dan tidak menuntut sebarang hak penjagaan penuh.

Emma dan Shazali yang sah bergelar suami isteri pada pada Februari 2020 dianugerahkan dua zuriat lelaki iaitu Shariq Gbariel, 4 dan Shakil Aryan yang kini berusia setahun.

Hisyam Hamid, Rosmawati Hanafi

SELEPAS beberapa bulan bertebaran khabar angin rumah tangga Hisyam Hamid dan Rosmawati Hanafi bergolak, pelakon itu akhirnya mengakui sudah bercerai selepas 20 tahun hidup bersama.

Sehingga kini, hubungan mereka kekal baik dan dua anaknya menetap bersama Rosmawati di Singapura.

Mereka mendirikan rumah tangga pada 2006 dan dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Nurish Syameliah, 17 dan Haydeen, 15 tahun.

Fazley Yaakob, Azrene Soraya

TIADA angin tiada ribut, tiba-tiba penyanyi juga chef selebriti, Datuk Fazley Yaakob mendedahkan perkahwinan yang dibina selama 18 tahun berakhir beberapa bulan lalu.

Bekas isterinya, Azrena Soraya Abdul Aziz sudah selesai menjalani tempoh idah ketika penyanyi terbabit membuka rahsia yang disimpan kemas itu.

Menurut Fazley, keputusan bercerai dibuat atas persetujuan bersama dan pengumuman dibuat bagi mengelakkan kekeliruan ramai.

Selebriti berusia 46 tahun itu bersyukur hubungan dengan Azrene kekal baik dan dapat menjaga permata hati mereka bersama-sama.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan empat zuriat iaitu Ahmad Fariedz Shah, 15, Ahmad Fieradz Shah, 14, dan Ahmad Fierudz Shah, 13, dan Alayna Selma, 7. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok