PENGANJUR konsert, Icon Entertainment terpaksa menanti selama dua tahun untuk merealisasikan impian menganjurkan konsert kumpulan muzik legenda, KRU.
Menurut pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, dia telah menghantar mesej pertama kepada Datuk Yusry pada 1 November 2022 namun tawarannya ditolak.
“Saya masih simpan mesej dalam aplikasi WhatsApp. Ketika itu Yusry beritahu mereka sudah ‘pencen’. Edry pula sudah menetap di United Kingdom dan Norman sibuk dengan urusan perniagaan.
“Tetapi saya tidak putus asa dan tetap berusaha memujuk mereka bertiga dan akhirnya pada September tahun ini mereka bersetuju untuk menjayakan konsert terbesar yang diberi nama Konsert Genkru yang akan berlangsung di Axiata Arena pada 3 Mei 2025,” katanya pada sidang media yang berlangsung hari ini.
Ditanya kenapa dia tetap berkeras mahukan kumpulan yang popular dengan lagu Awas itu, kata Iman, KRU adalah artis yang ikonik dan dia sendiri merupakan peminat kumpulan yang memulakan debut pada 1992 itu.
“Kita tidak mempunyai banyak artis ikonik di Malaysia. KRU mempunyai ramai peminat dan lagu-lagu mereka sangat popular. Saya sendiri merupakan peminat mereka sejak remaja. Saya pasti ramai peminat terutamanya dari era 90-an rindukan persembahan mereka. Konsert ini bakal menjadi kenangan terindah buat mereka,” jelasnya.
Sementara itu bagi KRU pula, mereka tidak pernah menyangka akan bergabung lagi sebagai satu kumpulan selepas kali terakhir beraksi di konsert di Istana Budaya pada 2018 menerusi konsert terakhir mereka di Istana Budaya sebelum mengumumkan mengundur diri dari arena muzik tempatan.
“Bila pihak Icon Entertainment bentangkan idea mereka kepada kami, kami agak tertarik dengan perancangan rapi yang mereka lakukan. Jadi kami fikir kenapa tidak kami mengambil peluang ini untuk memberikan kenangan terindah buat peminat-peminat kami.
“Kini kami kembali merasa menjadi ‘artis’. Sebelum ini semua kami uruskan sendiri. Kali ini ada pihak lain yang uruskan semuanya untuk kami. Tugas kami hanya menghiburkan para peminat.
“Tidak dinafikan sebelum ini ada lebih kurang lima penganjur cuba melamar. Tetapi tidak semua menepati piawaan. Malah ada yang langsung tidak tahu lagu-lagu KRU,” kata Norman.
Tiket konsert akan mula dijual pada 20 Disember ini bermula dengan harga RM258 sehingga RM588. – HIBGLAM