‘2 kali cium Hajar Aswad macam menang 1,000 anugerah’

TERHARU, pelakon Lana Nodin meluahkan rasa syukur berpeluang mencium Hajar Aswad buat kali kedua ketika menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci Mekah.

Ujar Lana atau nama sebenarnya Mazlina Hasan Nodin, 46, pengalaman yang berlaku tenang tenang itu merupakan rezeki tidak ternilai.

“Alhamdulillah, rezeki Jumaat kali kedua dapat cium Hajar Aswad dengan tenang.

Masa ini memang sudah tidak boleh nak cakap apa-apa, sangat sedih dan terharu dapat kucup, pegang.

“Hanya Allah tahu betapa gembiranya saya masa ini, macam menang 1000 anugerah, suami pun dapat kesempatan sama,” katanya menerusi hantaran dalam Instagram.

Dalam hantaran sama, pelakon Aku Yang Kau Gelar Isteri itu memuat naik video dirinya mencium batu dari syurga itu dalam keadaan dipermudahkan Tuhan.

Perkongsian tersebut menarik perhatian ramai, terutama peminat yang turut menzahirkan rasa syukur di ruangan komen.

“Syukur sangat. Tidak semua orang ada peluang seperti ini. Alhamdulillah,” tulis seorang pengguna Instagram.

Masya-Allah. Allah memilih sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya. Semoga terus dimurahkan rezeki,” komen yang lain.

Pada 12 Disember lalu, Lana memaklumkan dia bersama suami, Mohd Daud McKienzie serta dua anak mereka, Gia Quinn Mckienzie, 8, dan William Daud Mckienzie, 5, telah berangkat ke Mekah untuk menunaikan umrah.

Menerusi perkongsian dalam media sosial, Lana memohon doa agar segala urusan ibadah mereka sekeluarga dipermudahkan.

Aktres yang terkenal dengan lakonan antagonis itu dilihat semakin mendekatkan diri dengan agama, dan perjalanan umrahnya mendapat sokongan serta doa daripada peminat. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok