5 Idola K-pop dikeji persenda agama

BARU-BARU ini, kecoh dalam media sosial susulan penyanyi Yujin dikritik teruk natijah mengenakan pakaian memaparkan kalimah Allah dan Nabi Muhammad yang dianggap sengaja menghina kesucian Islam.

Perkara tersebut sering kali menjadi kontroversi bagi idola K-pop kerana dianggap tidak berhati-hati dalam apa-apa tindakan, lebih-lebih lagi berkaitan isu sensitif melibatkan agama.

Rata-rata yang terpalit dengan isu penghinaan agama Islam akan memohon maaf supaya tidak dilabel anti Islam.

Daebak kali ini menyenaraikan beberapa artis yang pernah terjebak sensitiviti agama yang secara tidak langsung mendedahkan kedangkalan pihak artis mahupun pengurusan.

RM

PADA Ogos tahun lalu, anggota kumpulan BTS iaitu RM memuat naik sebuah lagu berjudul Bad Religion nyanyian Frank Ocean dalam InstaStorynya.

Lagu tersebut menceritakan tentang pengalaman Frank yang berkongsi soal cinta tak terbalas. Bagaimanapun, pada bahagian korus lagu terbabit menjadi kontroversi apabila memasukkan kalimah ‘Allahuakhbar’.

Jay Park

PADA 2021, penyanyi Jay Park melancarkan lagu berjudul Mukkbang (Remix) yang dianggap mempunyai lirik kontroversi.

Lagu tersebut dianggap tidak menghormati agama Kristian dan Islam kerana membandingkan dirinya dengan Tuhan, roh, kudus dan Allah.

Selepas mengundang kecaman hebat, bintang kelahiran Amerika Syarikat itu memohon maaf dengan menyatakan kekesalan atas tindakannya.

Dia juga berterima kasih kerana ramai yang memberi penjelasan terhadap kesalahan yang dilakukan.

Loco

PADA tahun 2014, penyanyi Loco dikecam kerana menggunakan laungan azan dalam pengenalan lagunya berjudul Act Serious.

Penggunaan azan jelas membuatkan peminat daripada kalangan umat Islam tersinggung dengan tindakan pemilik nama sebenar Kwon Hyuk-woo.

Loco kemudian memohon maaf atas tindakannya selain mengaku tidak menyedari maksud laungan tersebut.

I.M

ANGGOTA kumpulan Monsta X iaitu I.M pernah terlibat dalam kontroversi menghina agama Islam pada 2021.

Hal tersebut dilakukan dalam album Duality yang memperlihatkan pemilik nama sebenar Im Chang-kyun itu mengenakan baju dengan tulisan ‘Bismillahirrahmanirrahim’ dalam bahasa Arab.

Pihak agensinya, Starship Entertainment terus memadam foto tersebut dan memohon maaf kepada orang ramai yang tersinggung.

Jake

RAMAI orang mula mengecam anggota kumpulan Enhypen iaitu Jake yang mengenakan aksesori daripada Belift Lab pada tahun 2022.

Difahamkan, Jake menggunakan rantai bertuliskan kalimah Allah dalam bahasa Arab.

Jake dianggap tidak sesuai menggayakan rantai tersebut kerana dia bukan beragama Islam dan dianggap menghina kesucian agama. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok