[VIDEO] Tegap Berdiri versi terbaik Aizat Amdan

BUKAN nama asing dalam industri seni suara, Aizat Amdan kini serius meneroka dunia sukan muay thai.

Kata Aizat atau nama sebenarnya Muhammad Aizat Amdan, kecintaannya dalam sukan tersebut sudah lama bersarang dalam jiwa.

“Dah minat sejak 2015 lagi dan gemar melihat peninju muay thai legenda beraksi di gelanggang perlawanan.

Lalu saya mula berjinak-jinak menjalani latihan sehinggalah satu hari jurulatih memberitahu bahawa saya sudah bersedia untuk ‘fight’, tidak pernah terlintas di fikiran sehinggalah tarikh 12 Oktober lalu,” kongsi Aizat mengenai perlawanan muay thai pertamanya secara amatur.

Itu sedikit sebanyak tentang hobinya, namun dalam bidang seni, Aizat kini kembali dengan single berjudul Tegap Berdiri ciptaan sendiri bersama Mel Ramlan dan Izzy Musa terbitan Kasi Gegar Entertainment (KGE).

Ditanya mengapa Aizat lama tidak muncul dengan karya baharu, dia punya alasan sendiri.

Saya kurang gemar dengan penghasilan lagu yang bertubi-tubi dan lebih rela mengambil masa merangka apakah langkah seterusnya dalam kerjaya saya sebagai penyanyi.

“Sebagai contoh, saya mengehadkan kepada penghasilan 5 buah lagu dalam setahun,” katanya.

AIZATmenonjolkan kecintaannya dalam sukan muay thai menerusi single baharu, Tegap Berdiri.

Aizat berkata, idea tercetusnya lagu Tegap Berdiri bertitik tolak daripada minatnya terhadap sukan muay thai yang diluahkannya ketika sesi rakaman Dari Studio Podcast.

“Uniknya lagu ini lahir secara tidak sengaja ketika saya mengendalikan sesi podcast bersama Mel dan abang saya, Amar.

Ketika itu, kami berbincang tentang hal-hal semasa termasuk zaman kegemilangan sukan bola sepak negara di sekitar tahun 1998.

“Mesej lagu ini tentang perjuangan, adakalanya menang dan adakalanya kalah dalam hidup dan itu sudah menjadi lumrah kehidupan di mana ada pasang surutnya,” jelasnya tentang single yang mengambil masa setahun pembikinan tersebut.

Aizat membawakan genre pop dengan pengaruh muzik City Pop yang popular sekitar tahun 1980-an itu adalah di Jepun.

Saya olahkannya dalam versi sendiri dengan melodi masa kini, lalu saya gelarkannya KL-City Pop,” katanya.

Selain single, sebuah video muzik (MV) yang berkonsepkan cereka pendek turut dihasilkan.

Video muzik berkenaan mengisahkan perjalanan Aizat ketika mula-mula menceburi sukan muay thai termasuklah dari latihan yang ‘biasa-biasa’ sehinggalah perlawanan pertamanya.

“Memang nampak senang, tetapi realiti sebenar dunia olahraga penuh dengan kerja keras, sangat menguji dan mencabar fizikal serta minda,” katanya.

Cuma menjadi diri sendiri biarpun adakalanya digelar Aizat AF (Akademi Fantasia), Ai.Z mahupun Aizat Amdan, semua itu masih berpaksi pada seni karya yang satu.

Saya cuba menjadi versi diri saya yang paling asli. Transformasi itu penting buat semua orang kerana di situ ada ‘growth’ dan saya suka tonjolkan beberapa sisi lain Aizat Amdan kerana semua yang saya lakukan adalah atas nama seni,” tuturnya.

Akhiri Aizat Amdan: “Harap agar semua yang mendengar single ini akan terhibur. Dengarkan ketika bersenam, sama ada di rumah mahupun gim, ataupun ketika berasa ‘down’.

“Ingatlah untuk mencabar diri dengan sesuatu yang baharu, biarpun kalah, namun bangkit semula dan tegap berdiri.”
Single Tegap Berdiri kini boleh dimuat turun di iTunes dan didengari di semua laman penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music, dan YouTube Music.

Video muzik juga boleh ditonton secara eksklusif menerusi saluran YouTube, OfficialAizatAmdan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok