SETELAH sekian lama, penulis akhirnya bernafsu untuk menghabiskan tontonan filem buatan Malaysia di pawagam.
Rasanya sudah lama tidak menikmati energi sebegitu. Barangkali kali terakhir perasaan sedemikian hadir sewaktu menyaksikan karya seperti Imaginur, Abang Adik dan Memoir Seorang Guru. Itu seingat penulis.
Itulah emosi yang tergambar usai menonton filem terbaharu berjudul Kahar: Kapla High Council hasil lanjutan fenomena drama Projek: High Council.
Dijayakan kebanyakan pelakon muda seperti Amir Ahnaf yang memegang watak utama bernama Kahar, Aedy Ashraf (Reja/Beja), Sy Iskandar (Megat), Thompson Goh (Li) dan pelakon hebat, Hushairy Hussein (Datuk Abu Yamin), karya arahan sutradara, Razaisyam Rashid tersebut ternyata meninggalkan dampak tersendiri.
Pertama sekali, mari bercakap tentang plot atau alur cerita filem ini yang mempunyai roh atau DNA luar biasa.
Razaisyam sebagai pengarah berjaya menterjemahkan dengan cemerlang kisah ‘stand-alone’ Kahar bertitik tolak daripada keterbatasan dirinya sebagai seorang anak orang kenamaan kehormat, Abu Yamin.
Sebagai sosok yang mempunyai beberapa kenalan anak VIP, penulis sekurang-kurangnya dapat menyelami emosi, kesengsaraan, kesedihan Kahar.
Nilai berkesan, sinematografi
Disebabkan legasi, pangkat dan kemasyhuran yang tidak ke mana, kadang-kadang kita terlepas pandang perkara sepatutnya diberikan perhatian dalam kehidupan iaitu darah daging sendiri.
Kahar: Kapla High Council juga memberi kesedaran realiti bahawa ramai ibu bapa, tidak kiralah kaya atau miskin pasti ada anak yang menjadi kegemaran.
Paling tidak pun, ada ibu bapa membeza-bezakan anak mereka namun dalam masa sama meletakkan harapan tinggi di bahu zuriat masing-masing melampaui kemampuan mereka. Itu perkara lazim yang kurang diberi kupasan dalam seni filem.
Keduanya, babak aksi dalam filem ini tidak kurang hebatnya. Biarpun adakalanya, seperti terlalu ‘over the top’, namun secara keseluruhan, mereka yang terlibat berjaya membentangkan elemen tersebut dengan cemerlang.
Sinematografinya cantik dan pujian harus diberikan kepada individu yang bertanggungjawab iaitu Stephen Chua.
Penulis secara peribadi berasakan sudah lama tidak ‘disuap’ kualiti sedemikian.
Misalnya, babak pergaduhan dengan peluh memercik atau darah terpancut divisualkan dengan kualiti yang mengesankan.
Begitu juga dengan efek bunyi yang diadun cukup membuatkan audiens di panggung tidak senang duduk, terutama adanya babak pertarungan atau action sequence.
Lakonan kelas A
Akhir sekali, tentunya pujian buat kualiti keseluruhan lakonan setiap bintang muda yang terlibat dalam naskhah berkenaan dan Amir Ahnaf membuktikan dia adalah antara pelakon muda yang wajib diberikan perhatian.
Lontaran dialog, permainan emosi dan babak pertarungan, semuanya ‘ditapau’ cemerlang Amir biarpun adakalanya ‘lirikan’ mata Kahar dirasakan seperti kerasukan syaitan dalam filem seram, penulis berpendapat itu adalah suatu yang subjektif.
Aedy sebagai Beja atau Reza pula wajar meraih pencalonan pelakon pembantu terbaik untuk festival filem tempatan akan datang.
Alasannya mudah, dia sememangnya pemeran tepat memainkan karakter ‘baharu’ abang kepada Kahar.
Selebihnya, Hushairy sebagai Abu Yamin menjalankan tugasannya dengan dengan cukup sempurna. Adegan kebenaran dibongkar mengapa dia begitu bengis terhadap anak bongsunya membuatkan mata penulis berkaca.
Keseluruhannya, Kahar: Kapla High Council sebuah filem mempunyai nilai komersial yang sarat dengan manfaat moral tentang banyak perihal penting kehidupan.
Andai naskhah berkenaan adalah kertas jawapan peperiksaan, penulis sebagai penanda tidak teragak-agak memberi markah 85 peratus. ‘Kemah’ molek! – HIBGLAM