PENYANYI lagu kerohanian, Hafiz Hamidun berpandangan setiap kandungan di gelanggang media sosial yang menjurus ke arah perkara negatif seperti lelaki menyerupai perempuan tidak perlu dibawa ke dunia sebenar.
Hafiz atau nama sebenarnya, Muhammad Hafiz Hamidun cakna zaman sekarang sememangnya masyarakat tidak boleh lari daripada lambakan kandungan sedemikian terutama golongan muda namun, ada batasan yang tidak perlu dilangkaui.
“Apa yang saya perhatikan sejak dua tiga tahun belakangan ini terutamanya di platform TikTok, masyarakat terima sahaja siapa kita.
Sama ada hendak jadi lembut, tukar perwatakan ke, pakai tudung atau tidak termasuk menggunakan ‘filter’ jantina yang berlawanan, nampaknya masyarakat menerima. Tetapi hakikatnya, masyarakat kita suka sebagai hiburan sahaja.
“Bagaimanapun, untuk bawa hiburan sebegitu ke dunia luar dan mahu tampil sebagai penghibur ‘mainstream’ masyarakat kita belum menerima. Jadi, tindakan seseorang ke arah itu, dia sendiri perlu tanggung,” katanya pada pelancaran album terbaharunya berjudul Haramain di Hotel Royale Chulan Damansara di sini, semalam.
Hafiz, 40, berkata, biarpun diterima sebagai hiburan, masyarakat tetap melihat perkara itu sebagai hal negatif yang tidak sepatutnya menjadi ikutan atau amalan.
“Walaupun orang ramai suka dengan kandungan sebegitu sehingga dapat komen bertalu-talu yang membuatkan mereka hendak buat lagi, perkara itu tetap perlu ditanggung.
Tetapi sebaik kita bawa perwatakan (konten) begitu ke dunia luar, masyarakat kita tak terima. Masyarakat kita masih ada sensitiviti.
“Saya tak mahu menilai sesuatu kandungan dala media sosial itu baik atau tidak, tapi mereka perlu menanggung sendiri. Jangan salahkan netizen andai mereka kecam apa dibuat,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, Hafiz tampil dengan album terbaharu berjudul Haramain yang diinspirasikan daripada perjalanan ke dua kota terpenting umat Islam iaitu Mekah dan Madinah.
Album Haramain memuatkan sepuluh trek iaitu Batu Hitam, Zamzam, Raudah, Kota Cinta, Jabal Qubais, Arafah, Baqi’, Raudah (slow version), Srikandi Solehah dan Kiswah. – HIBGLAM