‘Saya percayakan suami, pentingkan komunikasi’

MELAKONKAN watak isteri dicurangi dalam drama Curang Tanpa Niat tidak menggugat kepercayaan Mira Filzah terhadap suami tersayang, Wan Emir Astar Wan Mohammad Khairil Anuar.

Jelas Mira atau nama lengkapnya Nur Amirah Filzah Badioezaman, 31, setiap pasangan yang berumah tangga perlu saling mempercayai antara satu sama lain.

“Saya memang percaya dengan suami dan meletakkan kepercayaan kepada dia. Rasa takut (bimbang) ketika berlakon itu ada, tetapi bagi saya perkara begini (lakonan)  berbeza dengan realiti.

“Saya tidak menggabungkan soal kerjaya dan hal peribadi. Jadi, bagi saya tidak timbul rasa kurang selesa dalam diri selepas melakonkan watak isteri dicurangi suami,” katanya kepada HibGlam.

Mira yang ditemui dalam sidang media tiga drama terbitan Astro iaitu Curang Tanpa Niat, Rahsiamu Selamat Denganku dan Opis Politik semalam turut memberitahu, komunikasi menjadi kunci utama hubungannya dengan suami sejak mendirikan rumah tangga pada 3 September 2020.

“Suami saya tahu saya berlakon dalam cerita ini (tentang kecurangan). Saya sangat bersyukur kerana dia banyak memberi sokongan.

“Seperti saya katakan, saya sangat percayakan suami. Bagi saya komunikasi sangat penting dan sebagai pasangan yang sudah berumah tangga, saya juga sangat mementingkan komunikasi dengan suami,” katanya.

Sepanjang empat tahun berumah tangga, Mira dan Wan Emir dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Wan Khai Amir yang kini berusia dua tahun.

Curang Tanpa Niat terbitan iFAME akan memulakan siaran di saluran Astro Ria pada 23 Disember depan.

Selain Mira, karya arahan Eyra Rahman itu turut dibintangi Shukri Yahaya, Sharifah Sakinah, Evertts Gomes dan Azqa Aziz. –  HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok