‘Saya belum berhenti berlakon’

FIGURA bernama Christina Suzanne itu merupakan antara pelakon wanita yang mencipta nama dalam industri hiburan tanah air menerusi keunikan gaya dan kebolehan lakonannya.

Dikenali dengan kemampuan menghidupkan watak-watak sarat emosi, Christina sentiasa menonjol dalam setiap naskhah dibintangi baik di layar perak hingga drama bersiri. 

Keupayaannya menyampaikan cerita dengan penuh penghayatan menjadikannya pilihan ramai pengarah dan peminat, yang melihatnya sebagai pelakon berkaliber serta mampu memberikan impak dalam setiap persembahan.

Namun, bagai menghilang seketika dari radar seni tanah air, sepi Christina menimbulkan pelbagai spekulasi apabila ada yang mendakwa dirinya sudah tidak lagi berkeinginan untuk berlakon.

Berpeluang bertemu empat mata dengan pelakon berusia 39 tahun itu, penulis sempat bertanyakan keadaan dirinya serta alasan kariernya seperti hilang dalam terang.

Sebelum bergelar pelakon, Cristina terlebih dahulu memulakan kerjaya sebagai pramugari di beberapa syarikat penerbangan terkemuka dunia.

Menjawab segala persoalan, pemilik nama penuh Cristina Suzanne Stockstill itu menegaskan dirinya tidak pernah berpaling daripada dunia lakonan yang menjadi kecintaannya sejak dulu. 

Meski jarang muncul di televisyen mahupun layar perak, dia mengakui minat dalam lakonan masih menebal dan akan terus menyambut tawaran yang datang selagi tidak dihalang suami tersayang.

Bukan merajuk apatah lagi membawa diri, keputusan untuk memperlahankan langkah dalam kerjaya lakonan selama lima tahun kerana fokus menjaga anak lelakinya, Noah, yang kini berusia lima tahun.

“Saya tak berhenti berlakon lagi. Cuma, selepas dapat anak saya lebih fokus pada penjagaannya. Sebab, saya sedar yang diri tak mampu ‘multi tasking’ untuk buat banyak benda ketika itu.

“Lagi pun, saya tak nak emosi saya dan anak terganggu. Jadi, saya selesa fokus jaga anak. Tapi, dalam tempoh lima tahun yang macam nampak saya berhenti berlakon itu, sebenarnya tetap ada berlakon juga.

“Cuma, saya tak ambillah tawaran ‘shooting’ yang kadang-kadang sebulan hingga dua bulan sebab tak boleh nak bagi komitmen. Saya hanya terima tawaran berlakon yang tak lama di set penggambaran,” katanya kepada Pose. 

Tambah pelakon filem Sejoli: Misi Cantas Cinta itu lagi, dia enggan mensia-siakan rezeki dalam bidang lakonan kerana baginya, setiap peluang adalah berharga.

“Ada juga dengar orang kata saya tak nak berlakon lagi. Jadi, saya nak jelaskan di sini bahawa saya masih ada minat dan belum berhenti. Mungkin sebab saya jarang kemas kini dalam Instagram, ramai yang salah sangka.

“Tetapi, saya nak sampaikan pada semua, saya masih terbuka pada tawaran. Saya pun tidak terlalu selektif, cuma mencari watak yang ada impak dan cabaran baru.

“Saya pun tak mahulah menolak rezeki lakonan yang datang begitu saja kerana faham tindakan tolak rezeki tidak bagus,” ujarnya serius.

Disoal penerimaan suaminya setelah berlakon kembali, Christina berkata, suaminya, M. Faiz Zakaria, amat memahami dan menyokong minatnya dalam dunia seni sejak awal berkahwin lagi.

“Suami saya sangat memahami. Dia tak pernah halang atau minta saya berhenti. Cuma, ada masa tawaran lakonan tu kurang, mungkin juga sebab khabar angin yang tak tepat tentang diri saya.

“Saya juga dikatakan merajuk dengan industri, padahal saya baik-baik saja di rumah melakukan rutin harian menjaga anak dan keluarga. 

“Saya pun lebih senang urus anak sendiri tanpa pengasuh atau pembantu. Kehidupan sederhana ini buat saya bahagia,” kongsinya.

Bercakap mengenai perkembangan terkini, aktres kelahiran Johor itu sedang sibuk mempromosikan filem terbaharu dibintanginya berjudul Babah yang bakal menemui penonton di pawagam mulai 5 Disember depan.

Dia membawa watak sebagai Hayati dan isteri kepada lelaki berstatus orang kelainan upaya (OKU) pendengaran dan bisu.

Selain Christina, filem arahan Mohd. Shah Faizul Ibrahim juga diterajui barisan pelakon hebat lain seperti Qi Razali, Sweet Qismina, Adam Lee dan Kis Aisha. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok