SELEPAS berjaya menempatkan diri dalam Top 30 Miss Universe, ratu cantik Malaysia, Sandra Lim, 24, menyimpan impian mengikut jejak langkah idolanya iaitu Tan Sri Michelle Yeoh dalam bidang lakonan.
Dikatakan memiliki persamaan dengan pemenang anugerah Oscar itu, Sandra mengakui Michelle merupakan figura yang sentiasa menjadi inspirasinya.
Kami berdua ratu cantik Malaysia. Saya Miss Universe Malaysia dan beliau Miss World Malaysia. Kami juga sama-sama mencintai bidang seni mempertahankan diri. Saya melihat beliau sebagai sumber inspirasi bukan sahaja buat saya, tetapi ramai wanita Asia lain yang mempunyai impian untuk bergelar pelakon di peringkat global,” kata Sandra ketika ditemui pada sidang media meraikan kejayaannya di acara berprestij Miss Universe 2024.
Berkongsi cerita kejayaannya menamatkan kemarau 53 tahun di pentas Miss Universe dengan menjadi top 30 pada tahun ini, kata Sandra dia bagaikan tidak percaya nama Malaysia disebut dalam pertandingan yang berlangsung di Mexico itu.
“Saya masih ingat apabila nama Malaysia dipanggil, saya berkata dalam hati kita telah berjaya!
Rasa seperti hampir sukar untuk menggenggam kejayaan ini kerana tahun ini merupakan penganjuran terbesar dalam sejarah dengan penyertaan 130 negara. Jadi saya rasa peluang untuk Malaysia untuk masuk dalam kelompok top 30 agak tipis.
“Tetapi apabila nama Malaysia dipanggil, saya rasa akhirnya dunia membuka mata tentang negara kita bahawa Malaysia juga layak untuk berada di pentas berprestij itu,” ujarnya.
Bercakap mengenai video persembahan pada sesi pakaian renang yang tular di seluruh dunia, kata Sandra dia memasang strategi dengan melakukan gaya pusingan pinggang agar mendapat perhatian ramai.
Teknik tersebut saya belajar sebelum ini dalam pertandingan ratu cantik yang lain. Saya fikir saya perlu lakukan sesuatu yang berbeza agar lebih diingati kerana harus bersaing dengan 129 lagi peserta lain. Jadi saya lakukannya dan tak sangka tular,” kongsinya.
Dalam perkembangan lain Sandra enggan berehat panjang selepas pulang dari Mexico. Malah dia kini terlibat dalam penggambaran filem Gayong bersama Beto Kusyairi dan Nabila Huda. – HIBGLAM