‘Perceraian ini bukan untuk dibanggakan’

TIDAK menjaja cerita peribadi apatah lagi memburuk-burukkan bekas pasangan. Sepertinya bukan semua pasangan yang bercerai mempraktikkan prinsip tersebut tetapi berbeza buat Emma Maembong.

Kekal tenang meski melalui fasa perceraian dengan bekas suami, Shazli Azhar, dia membuktikan perpisahan bukan pengakhiran sebuah kehidupan khususnya untuk golongan wanita.

Tidak sama seperti segelintir selebriti yang berpisah, pemilik nama penuh Fatimah Rohani Ismail itu terus mengunci mulut sekali gus menutup segala cerita gelap tentang rumah tangganya kepada umum meski diasak bertubi-tubi khalayak termasuk pihak media.

Baginya, tiada apa lagi yang perlu ‘dibentangkan’ kerana paling penting kehidupan harus diteruskan dan anak-anak menjadi keutamaannya ketika ini.

“Kami berpisah cara baik, tidak bergaduh. Saya dan bekas suami sebelum bercerai cuba perbaiki hubungan.

Saya tak perlu jelaskan kenapa kami masih berbaik. Persoalannya, kenapa perlu bergaduh? Lebih baik utamakan anak-anak,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Menurut Emma, seboleh-bolehnya dia tidak mahu langsung memaklumkan tentang perceraiannya, namun kerana enggan menjadi mangsa fitnah masyarakat, dia terpaksa memberi penjelasan yang dilakukannya pada Oktober lalu.

Kata bintang drama Cemburu Seorang Perempuan itu, kewujudan orang ketiga bukan punca keruntuhan rumah tangga yang dibina sejak Februari 2000.

Hubungan Emma dan bekas suami, Shazli Azhar tetap baik demi anak-anak.

“Kalau boleh tak mahu kongsi pun tetapi untuk mengelakkan fitnah dan selepas bincang dengan bekas suami, kami umumkan.

Bagi saya, kalau kami tak kongsi sekalipun, pasti akan ada yang menambah-nambah. Jadi, beritahu sahajalah cuma kalau ditanya perihal punca dan sebagainya, semua itu privasi.

“Tiada guna pun nak kongsi kepada umum tentang kekecewaan dan semua yang terjadi apatah lagi nak cakap buruk tentang bekas suami. Kalau tiba-tiba jodoh saya dengan bekas suami kembali, sudah menyesal pula kutuk dan bercakap buruk tentang dia,” ujarnya tenang.

Dilayangkan pertanyaan sama ada mempunyai ruang untuk kembali bergelar suami isteri, Emma hanya menyerahkan perkara itu sepenuhnya kepada takdir Allah SWT.

Kami sudah cukup matang melalui perpisahan ini. Kalau untuk kembali bersama, saya sendiri tiada jawapan itu.

“Hal jodoh Tuhan yang tentukan dan saya tak mahu komen lebih. Cukup sekadar umum tahu kami masih baik dan sama-sama membesarkan anak-anak kami,” ujarnya.

Berkali-kali Emma menegaskan perceraian tidak seharusnya memberi impak negatif terhadap anak-anak sebaliknya ibu bapa harus memainkan peranan agar kehidupan mereka berjalan seperti biasa.

“Kalau cerai, jangan sesekali rosakkan mental anak-anak. Saya tak suka bila bergaduh berebut anak dan saling memburuk-burukkan antara satu sama lain.

Setiap pasangan yang berkahwin pasti mahukan pengakhiran bahagia dan tiada siapa inginkan pergaduhan, namun saya sentiasa reda dan yakin dengan aturan Tuhan.

“Kalau nak cakap hati tertutup untuk berumah tangga, dalam kehidupan ini tiada yang serik pun. Kalau ada jodoh, saya terima apa yang Allah sudah aturkan,” jelasnya.

Menjawab kata-kata negatif segelintir pihak yang mendakwa perceraian selebriti tahun ini adalah satu trend, dia memberitahu, tiada niat untuk menjadikan cerita peribadi sebagai konten media sosial.

“Tiada masa nak fikir mengenai label ‘janda hot’ atau tidak. Kalau nampak nama muncul dalam media sosial, saya tak mahu baca supaya tidak beri kesan kepada kesihatan mental.

Saya tak layak nak beri kata-kata kepada sesiapa pun sebab rumah tangga saya pun jadi begini.

“Perceraian yang berlaku ini pun bukan ikut trend dan tidak sama sekali untuk dibanggakan atau ingin jadi bahan konten TikTok.

Saya elak baca komen negatif selain sedar dalam dunia ini tak semua orang suka kita,” katanya lagi.

EMMA kini muncul dengan filem terbaharu, Jangan Pandang Belakang 2 yang mula ditayangkan 21 November lalu.

Meski sibuk menguruskan kehidupan peribadi, Emma tetap aktif dengan dunia lakonan dan terbaharu dia muncul dengan filem Jangan Pandang Belakang 2 (JPB2) yang mula ditayangkan sejak 21 November lalu.

Bercerita cabaran yang dihadapinya ketika menjayakan filem arahan Pierre Andre itu, kekangan masa adalah salah satu daripadanya.

“Banyak perkara yang kami tak sempat nak buat kerana kekangan masa. Cabaran ini membuatkan saya rasa sedih kerana tak dapat melaksanakannya dengan lebih baik.

Ada babak dalam hutan, adegan kena rasuk, semua itu tidak dapat dilakukan kerana masa terlalu singkat. Kemudian ada perubahan pada skrip yang berlaku pada saat akhir.

“Kalau tanya saya ada banyak ruang untuk tambah baik, tapi saya seronok bekerja dengan pasukan filem ini terutama barisan pelakon berbakat besar,” ujarnya.

Merupakan naskhah seram pertamanya, antara sebab utama dia menerima untuk membintangi sekuel terbitan MIG itu adalah disebabkan kejayaan naskhah pertama 17 tahun lalu.

Sudah tentulah saya teruja kerana tahu bagaimana fenomena Jangan Pandang Belakang 17 tahun lalu, tetapi tidak sangka saya yang bawa watak utama.

“Bila pegang watak utama, memang tekanan juga sebab fokus akan beri kepada watak saya sebagai Lyn, namun dengan tunjuk ajar dan bantuan ramai, alhamdulillah semuanya berjalan lancar,” ujarnya – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok