‘Orang Korea mesra jika kita cakap bahasa mereka’

GARA-GARA berhijab di tempat orang, pelakon Sabrina Azhar berkongsikan detik hitam dilalui rakannya yang berdepan layanan buruk di Korea Selatan.

Kongsi Sabrina, 24, kejadian itu berlaku sewaktu rakannya berbasikal berhampiran kawasan Sungai Han, Seoul sebelum didatangi seorang lelaki tidak dikenali.

Mengejutkan apabila lelaki itu tiba-tiba melontarkan kata-kata kesat dan menarik tudungnya rakannya itu.

“Kawan saya memang gemar berbasikal di kawasan Sungai Han. Hendak dijadikan cerita ada seorang lelaki datang ke arahnya dan memaki hanum.

“Lelaki itu suruh kawan saya pulang ke negara asal dan menarik tudungnya. Disebabkan terkejut, kawan saya kaku dan terdiam.

“Dia tidak tahu hendak buat apa pada waktu itu dan berasa trauma. Walaupun saya tiada di tempat kejadian, saya sangat bersimpati kepada dia,” katanya kepada HibGlam.

Sabrina yang juga bekas pelajar sebuah universiti di Korea Selatan meluahkan rasa syukur kerana tidak pernah berhadapan situasi sebegitu.

Namun, dia tidak menafikan penduduk negara itu akan lebih mesra sekiranya pelancong fasih bertutur bahasa mereka.

“Alhamdulillah saya tidak pernah berdepan situasi rasis walaupun berhijab. Paling tidak pun sewaktu saya ingin membeli barang di pasar, layanan peniaga di situ sedikit hambar.

“Namun, selepas saya bertutur dalam bahasa Korea, mereka menjadi sangat ramah. Bukan saya hendak mempertahankan mereka, tetapi penduduk tempatan akan mudah mesra sekiranya mereka senang berkomunikasi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Sabrina bakal membintangi drama Rahsiamu Selamat Denganku yang bakal bersiaran di saluran Astro Ria bermula 9 Disember ini.

Kata Sabrina, dia teruja diberi peluang membintangi drama di sini dan berkongsi perbezaan sewaktu melibatkan diri dalam penggambaran web drama di Korea Selatan.

“Perbezaan berlakon di negara sendiri, saya rasa lebih selesa kerana jika di Korea kadangkala membuatkan saya sendiri rasa terasing. Di Korea saya hanya berlakon web drama dan di sini (Malaysia) saya berpeluang berlakon drama televisyen.

“Saya terbuka untuk menerima sebarang tawaran berlakon di sini namun buat masa ini saya memang berulang-alik dari Korea ke Kuala Lumpur,” ujarnya.

Selain Sabrina, drama Rahsiamu Selamat Denganku turut dibintangi Alvn (Alvin Chong), Azri Safix, Meena, Faranadiah, Adriana Adnan, Nik Rifaiel dan Fadlan Hazim. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok