Liza Aziz hidup tenang tanpa akaun media sosial

Ramai tidak menyangka penyanyi bertaraf legenda seperti Liza Aziz sanggup menyertai pertandingan nyanyian sensasi, Gegar Vaganza yang bakal memulakan saingan musim ke-11 (GV11) beberapa hari sahaja lagi.

Rata-rata berpendapat, Liza adalah seorang penyanyi yang berada dalam kelas tersendiri dan tidak memerlukan platform seperti GV11 untuk mempamerkan bakatnya yang sudah diketahui ramai sebagai penghibur hebat. 

Tidak cukup dengan puja puji sedemikian, bahkan saat namanya diumumkan peserta GV11, sudah ada yang menjangkakan anak kepada Allahyarham Seniwati Normadiah dan Seniman Aziz Jaafar itu sebagai juara musim ini. 

Menurut Liza atau nama lengkapnya Norliza Abdul Aziz, 61, awalnya dia menolak untuk menyertai GV11 mengenangkan faktor usia.

Tolak sebab umur

Sebelum ke London baru-baru ini, pihak produksi telah menawarkan saya untuk sertai GV11. Tetapi ketika itu saya tolak kerana saya rasa pada usia sebegini saya tidak lagi mahu menghadapi tekanan dalam pertandingan. 

“Selepas saya pulang, mereka bertanya lagi. Saya minta diberi waktu untuk berfikir. Kemudian saya ke Bangkok pula, selepas pulang dari Bangkok barulah saya terbuka hati untuk sertai GV11,” katanya kepada HibGlam. 

Ditanya, apakah yang membuka pintu hatinya untuk menerima tawaran tersebut, pelantun lagu Rintihan Anak Kota itu menjelaskan, permintaan peminat serta galakan daripada adiknya, Azlina Aziz mencetuskan rasa ingin mencuba dalam hatinya.

“Peminat saya selalu minta saya sertai GV. Rakan-rakan dan saudara saya juga berkata perkara yang sama. 

Bila difikirkan semula, kenapa tidak? Saya masih lagi aktif menyanyi. Selagi saya boleh menyanyi, saya akan terus menghiburkan orang ramai.

“Pada saya GV adalah pertandingan yang sihat dan dinilai berisan juri profesional. Ini adalah masa yang paling sesuai untuk saya selagi masih boleh menyanyi. 

“Menang atau kalah belakang cerita. Yang penting saya suka buat persembahan dan menghiburkan orang,” jelasnya. 

Pengalaman menjadi rakan duet kepada Noryn Aziz sewaktu konsert GV tahun lalu juga sedikit sebanyak mempengaruhi Liza untuk sama-sama bertarung dalam GV11. 

“Ketika membuat persembahan bersama Noryn, saya dapatkan satu aura yang kuat. Penonton suka melihat persembahan kami. Dari situlah saya dapat rasakan mungkin saya juga patut berada di pentas GV sebagai peserta,” kongsinya. 

Jika sesetengah penyanyi risau diberikan lagu yang bukan genre kegemaran mereka, namun tidak bagi Liza. 

Dia pula bersedia menyahut cabaran menyanyikan apa sahaja genre lagu.

Pengalaman cukup memberikan keyakinan untuk Liza menolak semua rasa gentar biarpun GV cukup sinonim dengan pemilihan lagu luar kotak.

“Saya boleh nyanyikan apa sahaja genre lagu. Lagu Cina pun saya boleh nyanyi. Sudah berpuluh tahun saya menyanyi. Setiap kali buat persembahan, pasti ada yang minta nak lagu keronconglah, lagu asli, R&B dan macam-macam. Jadi kita kena belajar itu semua,” katanya. 

SEMPENA penyertaan dalam GV11, Liza Aziz kini mempunyai kelab peminat yang dikendalikan adiknya.

Tiada akaun media sosial

Apabila menyertai pertandingan seperti GV11, pastinya setiap gerak geri dan persembahan akan dikritik bukan sahaja oleh juri profesional, malah juri siber iaitu netizen yang pastinya akan memberikan pelbagai komen sama ada positif mahupun negatif. 

Ditanya kesediaannya berdepan serangan gelombang media sosial, Liza sama sekali tidak gusar kerana tidak mempunyai akaun media sosial. 

“Segala kritikan kita perlu hadap bila kita pilih untuk sertai program seperti GV11. Tetapi saya tidak baca kerana saya tidak mempunyai akaun media sosial. 

Malah aplikasi WhatsApp pun saya tiada. Jadi adik saya yang perlu hadap kerana dia merupakan pembantu peribadi saya. Selama ini segala urusan kerja memang dikendalikan pengurus saya,” kongsinya. 

Tambah Liza, hidup dia okey dan tenang tanpa memiliki akaun media sosial yang disifatkannya mengundang banyak gangguan. 

“Saya sangat okey tidak memiliki akaun media sosial. Tiada tekanan. Saya pernah juga tengok TikTok. Tapi saya fikir apa ni? Terlampau banyak kandungan yang entah apa-apa. 

Alhamdulillah walaupun saya tiada akaun media sosial seperti artis yang lain, tetapi rezeki saya sentiasa ada.

“Setiap tahun saya buat persembahan di Brunei. Banyak lagi persembahan saya yang orang tak tahu,” jelasnya. 

Antara sebab Liza hidup tanpa membuka akaun media sosial, dia mahu menjaga eksklusiviti sebagai seorang artis. Fakta itu cukup memberi gambaran betapa privasinya Liza selama ini.

“Saya tidak suka orang tahu apa yang saya lakukan dalam kehidupan seharian saya. Bagi saya perkara itu agak merimaskan dan menyusahkan. Lebih baik saya hidup tanpa media sosial yang lebih tenang,” katanya. 

Kelab peminat

Biarpun tidak mempunyai akaun media sosial, namun Liza sebenarnya mempunyai kelab peminat khas untuk GV11 yang diuruskan adiknya. 

Selain Liza, GV11 turut menampilkan 13 lagi bintang termasuklah dari Indonesia dan Singapura. Antara yang akan memberi saingan kepada Liza ialah Ning Baizura, Ronnie Hussain, Ila Sabry, Arrora Salwa, Nai Dinamik, Yazid Lovehunters, Inka Christie, Fairuz Selamat, The Lima, Sheila Abdul, Zehra Zamri, dan Reshmonu.

Konsert pertama GV11 akan mula bersiaran pada 24 November (Ahad ini) menerusi saluran Astro Ria pukul 9 malam.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok