Berwajah Melayu klasik dan bertona kulit sawo matang menjadi satu kebanggaan buat aktres terkenal, Nabila Huda.
Sepanjang bergelar pelakon, tidak sekalipun Nabila atau nama sebenarnya Nabila Huda Suhaimi terfikir untuk melakukan rawatan memutihkan kulit agar mengikut piawaian kecantikan tertentu.
“Memiliki kulit yang klasik adalah satu anugerah yang disyukuri. Saya percaya apa pun rupa kita, bakat sentiasa menjadi perkara nombor satu kerana penting adalah kejujuran hati dan jiwa sebagai seorang pelakon,” katanya.
Kata Nabila meskipun pernah ditawar untuk melakukan rawatan mencerahkan kulit atau rawatan estetik yang menjadi kegilaan ramai wanita, dia tetap berpegang teguh dengan pendiriannya.
“Saya tidak pernah terfikir untuk putihkan kulit. Kalau saya berkulit putih, keistimewaan saya mungkin hilang kerana kelihatan sama dengan pelakon yang lain.
“Sejujurnya saya takut akan kesan memasukkan bahan bukan semula jadi ke dalam badan pada masa depan. Tidak guna cantik, tetapi kesannya ketika tua mungkin saya menghidapi masalah buah pinggang,” jelas Nabila.
Tidak terpengaruh dengan pelbagai teknologi moden untuk kecantikan kulit, Nabila sebaliknya setia menggunakan bahan organik iaitu minyak kelapa untuk kulit dan kesihatannya.
“Saya percayakan bahan organik seperti minyak kelapa. Saya bukan sahaja guna untuk kulit dan rambut tetapi untuk kesihatan dalaman,” terangnya.

TIDAK perlu putih, Nabila bangga berkulit sawo matang yang dikurniakan Tuhan buat dirinya.
Kini pada usia 40 tahun, Nabila tidak takut untuk tua, sebaliknya menikmati perubahan yang berlaku pada wajah dan dirinya.
“Umur sudah 40 tahun, sudah tentu ada kedut sedikit dan jerawat sekali sekala. Saya menikmati perubahan itu dan sebagai wanita, paling penting adalah kita yakin dengan kecantikan sendiri.
“Mungkin pada masa akan datang saya akan buat rawatan wajah tetapi yang asas sahaja kerana saya menolak penggunaan bahan kimia pada wajah,” tuturnya.
Labur duit
Berbicara tentang karier seninya, Nabila yang dikenali sebagai pelakon serba boleh dan sangat menjaga kualiti kerjanya tidak lokek untuk mengeluarkan duit poket sendiri untuk pakaian dan perkara berkaitan tentang lakonan.
Begitu juga dalam filem terbaharu lakonannya, Gayong, apabila Nabila sanggup mengeluarkan wang dan mencari penaja untuk menggunakan karavan sendiri.
Jelas Nabila, bukanlah berlagak ataupun tidak mahu berkongsi dengan barisan pelakon lain, tetapi demi keselesaan diri dia sanggup berusaha tanpa menyusahkan pihak lain.
“Pihak produksi memang menyediakan tempat untuk pelakon, tetapi saya ingin selesa jadi saya mencari sendiri karavan.
“Pihak karavan menaja sedikit dan saya juga mengeluarkan duit sendiri. Alhamdulillah, saya selesa sepanjang 14 hari penggambaran filem di Gemas, Negeri Sembilan dan Johor,” tutur Nabila.
Jelas Nabila lagi andai ada pelakon lain ingin mengikut jejak langkahnya menyewa karavan sendiri ketika penggambaran, dia tidak menghalang kerana terpulang kepada kehendak masing-masing.
“Bagi saya, kerja perlu dilakukan dengan sebaik mungkin. Saya tidak mencari kekayaan, tetapi saya mahu setiap projek menjadi karya terbaik,” kata Nabila yang telah menceburi bidang seni sejak usia 16 tahun.
Filem Gayong
Berbicara tentang filem Gayong yang mengambil inspirasi daripada kisah hidup tokoh terkenal pengasas Silat Seni Gayong, Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman, Nabila berbesar hati terlibat dalam sebuah karya bersejarah.
Dalam filem yang berlatar belakang tahun 1940-an itu, Nabila memegang watak isteri kepada Datuk Meor iaitu Che Som.
“Watak Che Som digambarkan sebagai seorang wanita yang kuat, penyayang dan penting dalam mendukung perjuangan suaminya lakonan Beto.
“Che Som turut memiliki keistimewaan tersendiri kerana juga boleh bersilat. Ada beberapa babak saya perlu bersilat, ketika diserang Jepun. Saya perlu melindungi kaum wanita dan kanak-kanak,” katanya.
Berkongsi tentang cabaran membintangi filem arahan Faisal Ishak adalah berlakon babak di dalam air yang memerlukan Nabila dan barisan pelakon lain menguasai teknik selaman, menahan nafas dan pelbagai lagi.

Selain Nabila, filem Gayong turut dibintangi Beto Kusyairy, Yayan Ruhian dan Syafie Naswip.
“Kami melakukan penggambaran di studio dengan kedalaman air 9 meter. Saya harus menyelam tanpa alat bantuan oksigen, berenang sendiri sambil memastikan posisi kamera tepat.
“Babak tersebut memerlukan stamina mental dan fizikal yang tinggi, termasuk berlakon sepanjang malam dari pukul 6 petang hingga 8 pagi.
“Saya perlu berlakon dan memastikan pelakon kanak-kanak selamat di dalam air. Satu pengalaman yang sangat mencabar, tetapi memuaskan,” katanya.
Tambah Nabila, bukan mudah untuk membikin sebuah naskhah berasaskan sejarah. Justeru, Nabila berharap penonton akan memberi sokongan apabila filem ini ditayangkan tahun depan.
“Ini adalah cerita epik yang mengangkat figura penting negara. Saya bersyukur dapat menjadi sebahagian daripadanya.
“Filem ini berskala besar dan kalau hendak dicerita kesukaran produksi dan pelakon memang panjang tetapi demi memberi yang terbaik, kami sanggup biarpun begitu penat,” luah Nabila. – HIBGLAM