HAMPIR dua tahun ‘hilang’ daripada dunia seni, malah pernah berputus asa untuk meneruskan karier nyanyian, penyanyi Shahir Zawawi akur perjalanan seninya masih belum berkubur.
Biarpun terpaksa mendaki semula daripada bawah, Shahir atau nama sebenarnya, Ahmad Shahir, 36, yang kini berada di bawah naungan label, World Peace Entertainment memberanikan diri muncul dengan single baharu berjudul, Aksara.
Uniknya, Shahir yang sebelum ini dikenali sebagai seorang yang cukup menjaga privasi, termasuk jarang berkongsi kisah peribadi kepada umum terbuka untuk ‘menjual’ wajah isterinya, Jaskin Jaludin dalam video muzik lagu Aksara.
“Memang saya seorang yang agak tertutup, tetapi kenapa saya bersetuju untuk melibatkan isteri dalam video muzik kerana lagu Aksara adalah kisah kami berdua.
“Ini juga cara saya untuk memberi penghargaan kepada insan yang paling rapat dan sentiasa memberi sokongan kepada karier seni saya sempena ulang tahun kedua perkahwinan kami.
“Selama ini saya tidak dapat berlakon secara real, tetapi memandangkan dalam video muzik Aksara saya berlakon dengan isteri, lakonan itu tidak dibuat-buat saya saya dapat pegang isteri sendiri,” kata Shahir tentang lagu ciptaan komposer Omar K dan Iqie Hugh tersebut.
Tambah juara Akademi Fantasia musim kelapan itu, adalah lebih baik dia berlakon bersama isteri berbanding dengan wanita lain demi menjaga batasan.
Bahkan Shahir tidak perlu bimbangkan cemuhan atau dugaan pasangan selebriti yang kebelakangan ini seumpana trend dalam kalangan selebriti.
“Isteri berlakon demi saya, bagi saya itu lebih baik berbanding berlakon dengan wanita lain. Sekurang-kurangnya, peminat dapat melihat saya yang sebenar.
“Saya sedar mungkin ada yang tidak suka saya bawa isteri dalam video muzik, tetapi sebagai manusia, kita tidak mampu puaskan hati semua orang. Saya pun tidak melakukan perkara yang menyakitkan hati orang,
“Soal orang cemburu atau penyakit ain, saya serahkan semua kepada Allah. Insya-Allah, saya doa yang baik-baik dan berharap tidak ada perkara buruk terjadi,” tutur Shahir.
Relevan
Berbicara tentang perjalanan karier muziknya yang sebelum ini hampir ‘terkubur’, Shahir berkata, kehilangan akaun Instagram rasminya sekitar penghujung 2022 menyebabkan dia hilang punca untuk berkomunikasi bersama peminat.
Pelbagai usaha dilakukan untuk mendapatkan kembali akaun Instagram berkenaan, tetapi hampa apabila penggodam tersebut meminta wang sebanyak RM2,000 daripadanya.
“Saya tahu itu taktik mereka dan saya tidak akan dapat semula akaun Instagram itu. Jadi, saya tiada akaun Instagram sehingga bulan Julai baru-baru ini.
“Sebelum ini saya rasa diri mungkin sudah tidak relevan, mungkin juga sudah dilupakan peminat kerana ramai penyanyi baharu muncul.
“Tetapi kehadiran label World Peace Entertainment dan sokongan peminat yang mahukan saya kembali aktif telah membuka satu semangat baharu,” kata Shahir.
Sepanjang dua tahun menyepi sebetulnya Shahir tetap aktif, malah sempat menghasilkan dua buah single iaitu Qasidah Untuk Qamilah bersama Mawi dan Retak duet dengan Munif Hijjaz.
Sungguhpun begitu, mungkin ramai yang tidak sedar kehadirannya memandangkan tiada platform untuknya mempromosikan diri berikutan kehilangan akaun Instagram.
“Dua tahun hilang, saya masih buat persembahan pentas cuma tidak muat naik dalam mana-mana platform media sosial, sebab itu orang ingat saya tidak menyanyi lagi.
“Waktu itu memang saya fikir orang akan lupakan dan anggap saya beralih arah kepada kerjaya lain. Walhal sebelum itu ada beberapa label datang melamar tetapi saya tolak.
“World Peace Entertainment hadir pada waktu yang tepat dan saya melihat mereka mahu menyebarkan kebaikan serta ada unsur islamik yang menyebabkan saya terbuka hati untuk bernaung bawah label berkenaan” jelas Shahir.
Bercerita tentang episod kehilangannya daripada industri seni, beritahu Shahir selama 14 tahun bergelar penyanyi, karier nyanyian bukanlah sumber pendapatannya seratus peratus.
Kini, selain menyanyi, pelantun lagu Kebahagian Dalam Perpisahan itu bekerja dalam bidang perdagangan minyak dan gas.
Madinah
“Sekarang pun saya masih bekerja tetapi apabila sudah tanda tangan kontrak dengan label, saya harus beri komitmen, jika tidak, akan rasa bersalah.
“Walaupun ada peluang lain dalam mencari rezeki, tetapi bidang muzik tetap dekat di hati saya, Ada kalanya apabila melihat penyanyi lain buat persembahan, terbit rasa rindu.
“Alhamdulillah, Allah lorongkan saya untuk kembali dalam bidang ini. Jadi, saya serahkan semuanya pada Allah,” kata Shahir.
Berbicara tentang kehidupan rumah tangga, kebahagiaan dan keceriaan semakin terpancar di wajahnya.
Pernah merancang untuk meninggalkan Malaysia dan berpindah ke Madinah bagi melengkapkan lagi perjalanan rohani, perancangan bagaimanapun tidak menjadi meski sempat dua bulan menetap di sana.
“Dahulu saya pernah dapat tiket untuk ke Mekah, tetapi masa itu leka dengan dunia sibuk hendak kembangkan kerjaya sampai terlupa untuk tebus tiket tersebut.
“Saya percaya hanya orang yang ‘dijemput’ akan ke Mekah dan Madinah.
“Saya pernah tinggal di sana tetapi terpaksa kembali ke Malaysia atas banyak faktor, antaranya kesihatan bapa yang merosot. Namun, sampai ke hari ini niat untuk tinggal di Madinah tidak pernah padam.
“Saya memang mahu tinggal di sana dan bergantung sepenuhnya kepada Allah. Doakan saya dapat melaksanakan impian itu,” kongsi Shahir menutup bicara.