PENYANYI Ina Naim sah bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Mohd. Khairul Rizal Mohd. Shukor pada majlis pernikahan yang diadakan di Sg Ara Kota Tinggi, Johor pukul 9.50 pagi tadi.
Anggun menggayakan baju kurung coklat muda lengkap layah, Ina atau nama sebenarnya Nordiana Mohd. Naim, 40, menerima mas kahwin RM100.
Menerusi perkongsian akaun TikTok Telur Pindang Tradisi Johor, majlis yang berlangsung secara sederhana tetapi meriah itu difahamkan berlangsung di kediaman keluarga Ina.
Selain mas kahwin, keluarga pengantin lelaki membawa dulang hantaran berupa sirih junjung, buah-buahan serta manisan.
Dua anak dua itu turut menyerahkan sebentuk cincin, seutas gelang tangan serta wang hantaran RM7,000.
Terdahulu, tular video memaparkan Khairul Rizal sedang bersiap sedia untuk ke lokasi akad nikah diiringi keluarganya.
Menerusi ruangan komen pula, ramai mengucapkan tahniah buat pasangan pengantin selain mendoakan mereka mengecapi kebahagiaan berpanjangan.
“Tahniah buat mempelai. Semoga pernikahan ini diberkati Allah,” kata seorang pemilik akaun TikTok.
“Semoga perkahwinan ini kekal hingga ke jannah,” tulis seorang netizen.
Majlis resepsi pasangan yang berkenalan selepas Syawal lalu itu diadakan usai selesai majlis akad nikah di kediaman pengantin perempuan.
Terdahulu, Ina berkahwin dengan penyanyi nasyid Suhaimi atau Mohd Suhaimi Saad, 43, pada 12 Ogos 2007, namun Allahyarham meninggal dunia pada 15 November tahun lalu akibat jangkitan kuman pada paru-paru.
Hasil perkongsian hidup selama 16 tahun, mereka dikurniakan empat cahaya mata, Ehmad Hadie Elfardie, Sallman Elkhoyri, Phyrosh Elfadwah dan Nur Layla Elghufrony. – HIBGLAM