Ina Naim nafi didera, hidup daif bersama Allahyarham Suhaimi Saad

Bekas isteri kepada Allahyarham Suhaimi Saad iaitu Ina Naim menafikan dakwaan sebilangan pihak kononnya dia hidup dalam keadaan daif sepanjang menjalani rumah tangga bersama bekas anggota kumpulan Inteam tersebut.

Kata Ina atau nama lengkapnya Nordiana Mohd. Naim, 40, alatan rumah seperti peti sejuk bukan satu keperluan kerana yang penting adalah sikap positif daripada arwah suami terhadap dirinya.

“Peti ais tiada itu betul sebab saya hari-hari pergi pasar beli makanan segar.

“Bagi saya peti ais bukanlah satu benda yang penting untuk rumah tangga tapi yang penting adalah kejujuran, kasih sayang dan sikap bertolak-ansur,” katanya dalam sebuah video TikTok.

Perkara tersebut diluahkan selepas usahawan selebriti iaitu Datuk Aliff Syukri mengajukan soalan tentang tanggapan orang Ina didera dan hidup daif semasa bergelar isteri kepada Suhaimi.

Rata-rata netizen memuji sikap bersederhana anak jati Johor itu dan bersetuju dengan kenyataannya mengenai rumah tangga.

“Ina Naim ini baik betul, macam isteri-isteri nabi. Semoga kita dapat mencontohi dia,” ujar netizen.

“Sokong apa yang Ina katakan. Masa lalu dia, biarlah terus berlalu, sekarang dia dengan kehidupan masa kini,” tutur peminat.

Sebelum ini, ramai mengecam tindakan Suhaimi yang tidak menyediakan keperluan seperti mesin basuh, peti sejuk dan sofa sehingga ada yang berpendapat dia mendera bekas isterinya.

Terdahulu, Ina berkahwin dengan Suhaimi atau Mohd. Suhaimi Saad, 43, pada 12 Ogos 2007, namun Allahyarham meninggal dunia pada 15 November tahun lalu akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

Hasil perkongsian hidup selama 16 tahun, mereka dikurniakan empat cahaya mata, Ehmad Hadie Elfardie, Sallman Elkhoyri, Phyrosh Elfadwah dan Nur Layla Elghufrony.

Kini, Ina bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Mohd. Khairul Rizal Mohd. Shukor selepas setahun pemergian arwah suami. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok