Ibu kawal semua media sosial, duit Iman Troye  

SEBELUM bakatnya menarik perhatian khalayak, tidak ramai yang tahu bahawa penyanyi Iman Troye pernah menjadi mangsa buli ketika zaman persekolahannya.

Bukan sekadar dihambur dengan kata-kata yang negatif, bahkan kata Iman atau nama sebenarnya, Iman Alyssa Sahabuddin, 22, dia dipulaukan dan tidak memiliki ramai rakan di sekolah.

“Saya memang minat menyanyi sejak kecil, tetapi momen dihina oleh rakan yang meminta saya diam, jangan menyanyi kerana suara saya tidak sedap masih segar dalam ingatan.

Disebabkan kata-katanya, setiap hari saya berfikir, adakah benar suara saya seteruk itu dan tidak boleh menyanyi. Memang kecewa dan patah semangat.

“Waktu itu, saya hanya mampu simpan rasa kecewa dalam hati kerana ibu bapa tidak menggalakkan saya untuk menyanyi ketika zaman persekolahan,” tutur Iman.

Pernah meledak menerusi lagu Teman, Iman kini muncul dengan single terbaharu berjudul Kemboja yang mula meniti di bibir peminat.

Kongsi Iman, disebabkan isu buli dia kerap berfikir untuk pindah ke sekolah lain, bagaimanapun minat dalam muzik membuatkannya terus bertahan di sekolah sama.

“Disebabkan buli saya tiada semangat untuk ke sekolah. Bagi saya pergi sekolah tidak penting, saya mahu belajar di rumah dan hanya hadir sewaktu peperiksaan.

Saya tidak mahu berhadapan dengan orang yang pandang buruk, mahu jatuhkan saya dan mahu lihat saya keseorangan di sekolah. Tetapi disebabkan minat dalam muzik menyebabkan saya ke sekolah setiap hari.

“Waktu rehat orang lain makan di kantin, tetapi saya akan duduk di bilik muzik kerana tiada kawan. Ketika belajar muzik walaupun hari-hari dimarahi guru dan saya balik menangis, esoknya saya tetap akan datang ke kelas muzik,” cerita Iman tentang zaman persekolahannya.

Positif

Sungguhpun zaman persekolahannya tidak seindah orang lain, Iman yang sebelum ini popular dengan lagu Teman menyifatkan setiap perkara yang berlaku mempunyai hikmahnya.

Menurutnya, isu buli yang dihadapi menjadikannya lebih kuat dan berazam untuk dikenali ramai.

Saya akhirnya pindah sekolah ketika di tingkatan lima kerana ibu bapa berpindah tempat kerja. Ketika itu, saya berjanji pada diri, mahu tunjuk pada semua orang yang pernah buli, fitnah dan tidak mahu berkawan dengan saya bahawa saya berjaya.

“Hari ini saya berdiri membawa nama Iman Troye. Bagi saya semua dugaan dan ujian ada hikmah yang membentuk saya menjadi Iman Troye,” ungkap Iman.

Menariknya kata Iman, selepas dikenali ramai sebagai penyanyi, rakan-rakan di sekolah yang pernah membulinya suatu ketika dahulu menghubunginya semula.

Ada yang pernah buli saya hubungi semula buat seperti tiada apa yang berlaku. Tetapi saya tidak menyimpan dendam dan tidak mengambil hati.

“Waktu sekolah semua masih belum matang, jika perkara buli itu tidak berlaku mungkin saya tidak akan ‘push’ diri sehingga ke tahap hari ini,” ujar Iman.

Namun, atas pengalamannya kata Iman, isu buli adalah satu isu yang serius malah, mampu membuatkan seseorang berasa rendah diri dan tertekan.

Jadi, sebagai orang yang pernah menjadi mangsa buli, Iman berharap ibu bapa sentiasa memantau keadaan anak di sekolah bagi mengelakkan terjadinya perkara tidak diingini.

“Zaman saya dibuli, media sosial tidak sebesar hari ini, jadi masih terkawal. Sekarang dengan media sosial, buli menjadi lebih kritikal.

“Tanyalah anak-anak keadaan mereka di sekolah dan perhatikan jika ada perbezaan. Seperti saya, sejak zaman sekolah sehingga ke hari ini akaun media sosial masih di pegang oleh ibu.

“Tidak rasa terkongkong sebaliknya berasa lebih selamat. Saya sudah terbiasa begitu dan rasa itulah yang terbaik. Segala hak milik saya adalah di bawah pegangan ibu termasuklah pendapatan. Saya percaya, mungkin Allah beri rezeki kepada saya kerana ibu bapa,” ujarnya.

Karier

Dalam pada itu, Iman Troye yang baru sahaja meluncurkan single berjudul Kemboja memilih untuk menangguhkan seketika pengajian diploma muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

 

Langkah tersebut diambil bagi memberi fokus kepada single Kemboja selain perniagaan hijab jenama sendiri yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

“Memang saya memilih untuk tangguh belajar untuk fokus pada single Kemboja. Jika tidak, saya tidak akan dapat beri yang terbaik untuk kedua-duanya belajar dan kerjaya.

“Insya-Allah saya akan sambung semula selepas semuanya selesai. Selain itu, saya juga bakal keluarkan hijab jenama sendiri. Banyak kerja hendak dibuat serentak, tidak mudah dan cukup mencabar, namun saya yakin boleh,” luah Iman.

Sementara itu, Iman yang juga jurucakap kempen #Shecan berbesar hati dapat terlibat dalam program yang mengangkat wanita ke tahap yang lebih tinggi.

Menerusi kempen tersebut, dana sebanyak RM105,000 dianugerahkan kepada 11 orang penerima yang layak menerusi pertandingan yang diadakan selama dua bulan.

“Saya rasa terpengaruh dengan aura positif yang dibawakan semua pemenang kerana mereka semua memilik idea kreatif dan bakat yang luar biasa.

“Jangan pernah berkata tidak walaupun ada halangan seperti yang saya alami. Teruskan minat dan apa sahaja yang dilakukan demi mencapai impian masing-masing,” kata Iman.

Kempen #Shecan adalah acara tahunan yang dianjurkan oleh Kotex untuk membantu gadis-gadis mencapai impian dalam pelbagai bidang menerusi dana yang disalurkan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok