‘Geng Subuh sumbangan saya buat negara’

KETIKA ada individu lain mengejar populariti dengan cara menjual kontroversi, Alif Satar kekal dalam acuan meneruskan kerjaya seni tanpa terpalit sebarang kisah panas.

Lebih selesa fokus terhadap aktiviti bermanfaat berbanding mengejar perkara tidak perlu, maklum balas terhadap kempen Geng Subuh Macam Jumaat yang direalisasikan pada awal tahun ini dijadikan misi utama.

Bukan berharap namanya dijulang rentetan kejayaan program mengajak umat Islam mengimarahkan masjid, sebaliknya usaha berterusan tersebut dianggap sebagai tanggungjawab sosial.

Tidak hairan selepas kempen Geng Subuh Macam Jumaat, ramai peminat tertunggu-tunggu apa projek seterusnya pemilik nama lengkap Muhammad Alif Mohd. Satar yang sering membawa contoh baik dalam kehidupan seharian.


MESKIPUN sering mengajak orang ramai melakukan kebaikan dan menunjukkan contoh baik, Alif tidak mahu terbabit dalam bidang politik.

Dipuji segenap lapisan, selebriti berusia 34 tahun mengakui memikul tekanan dalam bentuk positif untuk menjadi ‘role model’ atau suri teladan kepada masyarakat.

“Saya tak nafikan memang ada tekanan apabila ingin mengajak orang lain melakukan kebaikan tetapi tekanan yang saya maksudkan adalah dalam bentuk positif.

“Memang ini satu tanggungjawab berbeza dengan maju menunjukkan positiviti iaitu memberikan inspirasi kepada orang lain untuk ikut apa yang saya lakukan.

“Saya tahu orang nak contoh yang baik. Macam saya dahulu, tengok Datuk Seri Siti Nurhaliza, saya nak jadi macam beliau, jadi saya harap orang lain pun rasa begitu terhadap kerja kemasyarakatan saya,” katanya kepada HibGlam.

Dalam masa sama, pelantun lagu Cukup Indah itu menolak sekiranya ditawarkan untuk menjadi wakil rakyat atas tiket sering memberikan sumbangan terhadap masyarakat.

“Saya bersihkan najis binatang sebelum ini pun orang puji, padahal itu adalah konten tunjuk kelakar sebab pelik ada kerbau tengah bandar.

“Sampai orang cakap, Alif boleh jadi Ahli Parlimen tetapi saya tidak mahu sebab nak sumbang kepada negara dengan cara sendiri.

“Dalam banyak cara lagi kita boleh sumbangkan kepada orang lain, antaranya sumbangan kepada ummah menerusi Geng Subuh,” ujarnya.

ISTERI Alif, Sha Dilla kini menutup Instagram gara-gara bimbang dengan penyakit ain yang wujud dalam masyarakat.

Sering menerima pujian, Alif mendedahkan isterinya, Sha Dila mengambil keputusan menutup aplikasi Instagram bagi mengelak berlakunya perkara buruk, terutama bimbang terkena penyakit ain atau hasad dengki.

“Isteri saya tutup Instagram sebab dia macam takut dengan penyakit ain. Ini tiada kena mengena dengan kes perceraian artis sekarang.

“Penyakit ain benar, kami kongsi benda seronok dan apabila orang puji pun boleh jadi benda tak baik, kadang-kadang boleh jadi ujub, rasa sempurna pun tak boleh.

“Awal-awal sedih juga sebab saya selalu tengok balik gambar lama dan gambar anak dalam Instagram isteri tetapi bagus juga keputusannya menutup aplikasi tersebut,” ujar aktor filem Reeza GTR itu.

Menurut bapa kepada tiga anak itu, dia juga bertindak mengawal kandungan dalam media sosial, selain lebih memberi fokus kepada hal kerja dan perniagaan.

“Saya jenis akan kawal muat naik kandungan yang membabitkan keluarga dengan melebihkan soal kerjaya dan perniagaan.

“Kadangkala peminat nak tahu juga fasal keluarga, saya rasa okey kalau masukkan konten mengenai anak, isteri sekali sekala.

“Cuma dikurangkan kerana dunia sekarang terlalu terbuka dan tiada privasi lagi,” jelasnya.

Ilmu emas

Dalam perkembangan lain, Alif yang kini duta sebuah syarikat pelaburan emas turut menitik nasihat kepada peminatnya.

Alif mengajak orang ramai menjadikan emas sebagai antara salah satu kaedah pelaburan dan simpanan jangka masa panjang.

ALIF mengajak orang ramai menyimpan emas supaya boleh memberi manfaat pada masa hadapan.

“Saya mahu orang ramai kumpul dan simpan emas selain wang. Ini kerana nilainya tidak akan dimakan inflasi dan aset yang boleh kita jual semula.

“Sama macam zaman orang tua dahulu, kalau anak pergi universiti pasti akan gadai emas sebab nilainya tidak berubah.

“10 tahun lalu saya pernah beli emas dengan harga RM200 untuk 1 gram. Sekarang emas itu sudah jadi harga RM400, memang boleh bagi manfaat pada masa hadapan” jelasnya.

Berkongsi lanjut, Alif turut memaklumkan mengenai pelancaran koleksi emas terbaharunya, Alif One Ummah Dinar dan Gold Bar yang direka dengan lebih eksklusif.

“Sebenarnya koleksi One Ummah ini adalah siri kedua emas yang saya lancarkan selepas edisi ALIF terjual sepenuhnya pada Mac lalu.

“Kali ini saya pilih konsep ‘One Ummah’ dan minta pihak GB Gold untuk tampilkan reka bentuk lebih eksklusif.

“Oleh itu anda dapat lihat ada keffiyeh pada kad serta ukiran ‘hayya ala Falah’ bermaksud marilah menuju kejayaan di atas emas,” tutupnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok