Dikutuk, Fazura bersyukur masih ramai sayang

KETIKA dihujani kecaman gara-gara nyanyiannya, masih ramai berdiri teguh di belakang penyanyi dan pelakon Nur Fazura yang menzahirkan penghargaan atas perkara positif dalam kehidupannya.

Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin, 41, bersyukur dikelilingi ramai insan baik yang menunjukkan kasih sayang mereka terhadap dirinya.

“Di saat ini Faz dalam fasa menikmati dan memerhati, ternyata orang baik yang sayang dari jauh itu diperlihatkan dan begitu juga sebaliknya.

“Alhamdulillah, sayang anda banyak-banyak,” katanya dalam perkongsian di Instagram.

Dalam hantaran tersebut, bekas isteri kepada pelakon Fattah Amin itu menyertakan deretan video yang membuatkan harinya penuh bermakna.

Antaranya adalah kiriman senaskhah al-Quran daripada pendakwah bebas, Ustazah Asni Mansor, kad ucapan, momen bersama orang sekeliling selain detik melihat kegembiraan puterinya, Nur Fatima Aisya bersama sepupunya.

Tidak ketinggalan video promosi di Jakarta, Indonesia bagi memperkenalkan single terbarunya, Bertahan Demi Cinta yang mencetuskan kontroversi, baru-baru ini.

Menerusi ruangan komen, ramai menitipkan kata-kata semangat agar Fazura terus kekal positif dalam mengharungi dugaan.

“Tetaplah tersenyum. Allah sentiasa bersama orang yang sabar. Sayang selalu,” tulis netizen.

“Anda paling tabah, saya yakin anda pasti dapat melalui fasa ini. Semoga urusan dilancarkan,” kata seorang pemilik akaun lain.

Sebelum itu, menerusi sebuah program bual bicara selebriti juga usahawan itu menyatakan dirinya semakin kuat berdepan komen negatif.

Terdahulu, Fazura berkunjung ke Jakarta bagi mempromosikan Bertahan Demi Cinta yang asalnya dirakamkan secara duet bersama Fattah.

Bagaimanapun, percubaan menyanyikan lagu itu secara ‘live’ mengundang pelbagai reaksi malah ramai netizen menitip nasihat agar aktres itu menilai kembali potensi karier nyanyiannya.

Single ciptaan Ippo Hafiz itu meraih perhatian selepas dilancarkan sejurus Fazura dan Fattah bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pada 7 Oktober lalu.

Pasangan terbabit berkahwin pada 27 November 2017 dan dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Fatima Aisya, yang kini berusia empat tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok