‘Dewa gitar’ perhebatkan The Real Cromok

EMPAT dekad memperjuangkan muzik rock metal, kumpulan Cromok ternyata masih mampu mengukuhkan empayar mereka dengan cara tersendiri.

Buktinya Cromok bakal menggemparkan pentas Zepp Kuala Lumpur (KL) pada 7 Disember ini menerusi konsert The Real Cromok.

Bukan sahaja mempertaruhkan seleksi hit, Cromok turut menampilkan pemain gitar legenda iaitu Hilary Ang dan Man Kidal yang menjanjikan persembahan luar biasa.

Tentu sahaja kehadiran dua ‘dewa gitar’ yang terkenal itu meninggalkan memori indah dalam ingatan pemuja muzik tanpa mengira peringkat usia.

Dianggotai Karl, Sam, Acher, Shah dan Apis, Cromok menjanjikan persembahan luar biasa apabila lebih 20 buah lagu diberi nafas baharu menerusi susunan muzik yang lebih segar.

“Konsert ini sesuatu yang istimewa buat kami apabila hampir 40 tahun berkecimpung dalam industri hiburan. Jadi pastilah kami ingin memberikan pengalaman yang mengujakan buat mereka.

“Kami juga memberikan susunan muzik baharu bagi mewujudkan nuansa berbeza buat penonton. Maklum saja sebahagian karya sudah mencecah usia puluhan tahun.

“Jadi dengan adanya susunan muzik baharu ini penonton akan merasai pengalaman berbeza dan sudut pandang berlainan. Walaupun kami tahu peminat ingin mendengar seperti karya asli, tetapi konsert ini sesuatu yang istimewa jadi kami ingin membuatkan menjadi lebih indah,” jelas Sam.

DISOKONG oleh MyCreative Ventures Sdn. Bhd, konsert The Real Cromok dijangka mengembalikan zaman gemilang Cromok sejak 1987.

Dram elektrik

Bagi memberikan impak muzik luar biasa, konsert tersebut turut memperlihatkan Cromok menggunakan peralatan muzik dengan teknologi masa kini, seperti penggunaan dram elektrik yang memberikan ‘ngauman’ luar biasa berbanding drum asli.

“Kami membuat susunan muzik baharu bukan untuk menarik peminat muda atau generasi masa kini. Tetapi itu lebih kepada penghargaan kepada peminat bahawa kami masih mempunyai daya kreativiti.

“Penggunaan alat muzik elektronik ini juga memberikan bunyi yang lebih menarik. Sekiranya ada peminat baharu yang tidak menggemari muzik kami, tetapi mereka tertarik dengan alat muzik, maka mereka turut boleh memberi sokongan.

“Dengan peralatan digital, jadi persekitaran pentas akan lebih kemas dan tidak terlihat dengan wayar,” tambah Sam.

Sambil membawa penonton menyingkap perjalanan band dalam persembahan berdurasi selama dua jam itu, Karl yang menyertai semula Cromok pada 2012 berkata, ada lagu baharu yang akan diperdengarkan selepas kali terakhir muncul dengan album (Untitled) pada 2004.

“Selain berpeluang berhibur dengan barisan lagu sedia ada, peminat juga berpeluang buat pertama kali mendengarkan lagu baharu Cromok pada malam konsert.

“Lagu ini merupakan karya khas yang ditujukan kepada ahli Cromok yang sudah meninggalkan kita iaitu Allahyarham Miji dan Din.

“Dalam konsert ini juga ada segmen khas sebagai tribute kepada mereka,” ujarnya.

Tambah Karl, perjuangan band tersebut sebagai peneraju muzik fusion yang menggabungkan irama tradisional dan heavy metal sehingga melahirkan terma ‘thrashditional’ terus diteruskan bersama Shamsudin Ali atau Sam yang bermain bass.

Sam adalah salah seorang pengasas bersama pemain dram, Allahyarham Miji yang meninggal dunia, Mac lalu. Seorang lagi pengasas Cromok, Allahyarham Din yang lebih dulu keluar daripada Cromok telah meninggal dunia pada 1997. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok