PENTAS Separuh Akhir Muzik Muzik 39 (SFMM39) melabuhkan tirainya dengan penuh debaran selepas menyaksikan pertarungan 30 lagu terbaik yang dipersembahkan dengan pelbagai emosi dan kreativiti.
Namun, hanya 10 karya terunggul dipilih untuk mara ke peringkat Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39), sebuah pentas paling berprestij dalam industri muzik tanah air.
Setiap tahun, AJL menjadi medan penentu siapa yang layak dinobatkan sebagai komposer, dan penulis lirik terbaik serta gelaran vokal terbaik.
Pentas AJL39 kali ini bukan sekadar pertandingan biasa sebaliknya adalah simbol keunggulan karya muzik Malaysia.
Dengan format pertandingan yang semakin kompetitif, pemilihan tahun ini dianggap lebih mencabar apabila kebanyakan lagu yang bertanding di SFMM39 didominasi oleh balada.
Ini menuntut pihak juri, yang diketuai oleh Edry Abdul Halim, untuk benar-benar memilih karya yang bukan sahaja memukau tetapi juga berdaya saing tinggi.
Menurut Ketua Juri SFMM39, Edry Abdul Halim, proses pemilihan bukan mudah kerana AJL bukan sekadar pentas hiburan, tetapi sebuah pertandingan yang menilai karya muzik secara teliti.
“Kami mencari lagu yang ada daya saing kerana AJL bukan sekadar pameran.
“Muzik adalah sesuatu yang subjektif, tetapi sebagai juri, kami mengetepikan keutamaan peribadi untuk memilih yang terbaik,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa pemilihan lagu melibatkan pelbagai aspek seperti melodi, lirik, susunan muzik, dan persembahan,
Dalam masa sama, Pengurus Besar Kandungan Siaran TV3, Marlia Zulamran, turut menjelaskan keputusan hanya memilih 10 lagu terbaik ke pentas AJL39 berbanding 12 hingga 14 seperti tahun-tahun sebelumnya.
Katanya, pihak juri dan produksi sepakat untuk memastikan hanya karya terbaik dipilih agar pentas AJL tidak menjadi hambar.
Malah, faktor pemilihan itu juga dibuat berdasarkan keseimbangan genre agar penonton dapat menikmati variasi muzik.
“Tahun ini memilih 10 sahaja lagu kerana melihat kepada 30 buah lagu yang bersaing di SFMM adalah kebanyakannya lagu-lagu balada.
“AJL bukan sekadar hiburan, tetapi sebuah platform kompetitif, jadi pihak juri dan produksi membuat keputusan memilih
10 sahaja lagu terbaik dan memberi daya saing untuk dipertandingkan di peringkat akhir.
“Kami mahu persembahan akhir AJL tidak terlalu berat kepada satu genre sahaja, dan 10 lagu yang dipilih adalah yang paling berdaya saing,” ujarnya.
Paling penting kata Marlia, pihak produksi mahu memberikan ruang kepada kepelbagaian genre seperti hip hop dan etnik kreatif, bukan hanya balada, supaya pentas AJL lebih dinamik dan menghiburkan.
Dihoskan Izzue Islam dan Fiza Frizzy, SFMM39 menyaksikan 30 lagu bertanding menerusi dua episod yang berlangsung pada 14 dan 15 November lalu.
Kesemua lagu yang dipersembahkan diadili barisan juri profesional, iaitu Datuk Mokhzani Ismail, Efry Arwis, Ly Baiduri, Helen Yap, Ad Samad dan diketuai Edry Abdul Halim.
Sebanyak 10 lagu diumumkan layak ke pentas AJL39 yang dijadualkan berlangsung pada awal tahun hadapan di Axiata Arena, dengan tarikh akan diumumkan dalam tempoh terdekat.
Penyanyi yang akan bersaing adalah Aina Abdul menerusi lagu Puas Sudah, Terus Bersinar (Hafiz Suip), Aura (Ernie Zakri), Bukan Lagi Kita (Nadeera) dan Hening Rindu (Marsha Milan).
Turut ke AJL39 ialah Sengaja (Amir Masdi), Saksama (Akim & The Majistret), Pujaanku (Masdo dan Aishah Aziz) diikuti Risiko (Benzooloo, Ghidd, Meerfly, MK K-Clique dan Tuju) serta Diam (Hael Husaini). – HIBGLAM