PRIHATIN nasib banduan yang terkurung dalam penjara, vokalis kumpulan Wings, Datuk Awie mendedahkan akan membuat persembahan jelajah di 49 penjara seluruh Malaysia pada tahun hadapan.
Menurut Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 55, perkara ini telah pun dibincangkan dan dipersetujui pihak penjara Kajang.
Bila kami menyampaikan hasrat untuk membuat persembahan istimewa ini, pihak penjara Kajang terkejut dan terharu kerana belum pernah ada lagi artis di Malaysia yang sanggup buat perkara seperti ini.
“Mereka juga berharap perkara ini akan menjadi realiti. Jadi tugas kami sekarang adalah untuk mencari penaja bagi menjayakan usaha ini,” katanya kepada HibGlam.
Ditanya apa yang membuatkannya terdetik untuk menghiburkan banduan dalam penjara, kata Awie ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial.
“Ini adalah cara kami beri semula kepada komuniti. Saya rasa tidak ada seorang pun pesalah dalam penjara minta dilahirkan ke dunia untuk buat jahat.
Biarlah mereka rasa masih ada yang peduli tentang mereka. Mungkin dengan apa yang kami nak lakukan ini akan memberi impak yang sangat besar kepada mereka.
“Sudah terlalu banyak persembahan dilakukan untuk orang awam. Jadi apa salahnya kita hiburkan mereka yang berada di dalam penjara.
Satu hari nanti mereka juga akan keluar dari penjara dan semoga mereka menjadi orang yang lebih baik di luar,” jelasnya.
Tambah Awie lagi, dia berharap akan ada pihak sudi menaja tanpa mengharapkan pulangan kerana apa yang bakal dilakukan ini adalah atas dasar tanggungjawab sosial.
“Untuk bergerak ke setiap penjara dalam satu Malaysia memerlukan modal. Saya harap ada yang sudi menaja.
Sesiapa yang ingin menaja, kami akan usahakan agar potongan cukai dikenakan sama dengan nilai hasil sumbangan.
“Perkara ini akan kami bincangkan dengan pihak Kementerian Dalam Negeri agar urusan melaksanakan projek ini lebih dipermudah,” kongsinya.
Dalam perkembangan lain, Awie kini rancak melakukan persiaan Rock Warrior Muzik Festival anjuran syarikat produksi Rumah Merah.
Rock Warrior Muzik Festival bakal berlangsung pada 23 dan 24 November depan di KL Base, Sungai Besi, Kuala Lumpur. – HIBGLAM