PELAKON Ummi Nazeera menasihati pasangan yang memilih jalan cerai agar tidak saling memburukkan antara satu sama lain atau membuka aib masing-masing.
Kata Ummi atau nama lengkapnya Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abidin, 34, meskipun perceraian itu bukan satu hal yang mudah tetapi jangan menjadikan kegagalan perkahwinan untuk pasangan saling menuding jari antara satu sama lain.
Bagi mereka yang hendak berpisah semoga kalian berada dalam keadaan yang harmoni. Tidak perlu untuk berada dalam keadaan bergaduh.
“Doakan semoga perpisahan itu merupakan jalan terbaik untuk masing-masing,” katanya kepada HibGlam.
Bagaimanapun, pelakon filem Bisik Pada Langit itu enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan perceraian dalam kalangan selebriti dianggap sebagai satu trend masa kini.
Harap maaf, perkara itu saya tidak mahu komen sebab saya sendiri pun berumah tangga. Kalau boleh saya tidak mahu bercakap lebih mengenai perkara ini kerana bimbang akan terkena penyakit ain (hasad dengki) atau apa saja.
“Tetapi saya mendoakan yang terbaik buat mereka yang sudah berpisah atau sedang dalam keadaan ingin berpisah,” katanya.
Selepas perceraian pasangan pelakon Fattah Amin dan Nur Fazura di Mahkamah Rendah Syariah Petaling di Subang Bestari, Shah Alam pada 7 Oktober lalu, beberapa selebriti lain mula membuat pendedahan mengenai status perkahwinan mereka.
Antaranya pelakon Emma Maembong yang mendedahan sudah tamat tempoh idah selepas bercerai dengan bekas suami, Muhammad Shazli Azhar.
Kemudian penyanyi dan cef selebriti Datuk Fazley Yaakob turut mengesahkan sudah bercerai dengan bekas isterinya, Azrene Soraya Abdul Aziz beberapa bulan lalu selepas 18 tahun berumah tangga. – HIBGLAM