MESKIPUN sudah bercerai talak satu Isnin lalu, netizen mendakwa pelakon Fattah Amin masih lagi menyayangi bekas isteri, Nur Fazura dan perkahwinan mereka .
Semua tercetus apabila tular sebuah video dalam TikTok memaparkan Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin, 34, sedang menikmati nasi kerabu sambil bermain telefon dengan jari manisnya masih bersarung cincin.
Semakan ruangan komen, rata-rata netizen mendakwa cincin yang dipakai pelakon filem Pendekar Awang itu adalah cincin perkahwinannya yang masih belum ditanggalkan walaupun sudah bercerai.
Malah, ada segelintir mereka menganggap masih ada sinar selain berharap agar Fattah rujuk semula dengan pelakon filem Pisau Cukur itu.
“Lelaki kalau masih pakai cincin kahwin, itu bermakna dia masih sayangkan isteri dan perkahwinan itu. Kalau dia tak sayang, dah lama dia tak pakai cincin itu kecuali hilang,” komen seorang netizen.
“Sugulnya wajah Fattah, boleh bayang betapa remuknya hati dia tapi cincin tetap ada di jari tanda dia masih sayangkan sebenarnya rumah tangga dibina,” tulis seorang pengguna media sosial.
“Tolonglah rujuk semula dengan Fazura, Fattah masih pakai cincin kahwin. Dia masih sayangkan awak dan Fatima,” kata netizen lain.
Rumah tangga pasangan pelakon Hero Untuk Cinderella itu menjadi sorotan ramai selepas aktres terbabit mendedahkan bekas suaminya berlaku curang, culas memberi nafkah dan tiada kesefahaman.
Namun, Fattah menafikan kenyataan wanita terbabit yang mendakwa dirinya bermain kayu tiga serta cukas dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap isteri dan anak mereka.
Terdahulu, Fattah dan Fazura berkahwin pada 27 November 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya, 4.- HIBGLAM.