SIAPA sangka selepas setahun terjun ke dunia penyiaran, rupa-rupanya membuka jalan baharu buat Khairy Jamaluddin mengembangkan pengaruh apabila berjaya menggenggam trofi Penyampai Radio Popular pada Anugerah Bintang Popular (ABP) ke-36.
Itu bukti aura Khairy atau lebih mesra disapa KJ sepanjang berjuang di stesen radio Hot FM sebagai gandingan baharu bersama Johan, Farah Fauzana serta AG Azmeer dalam segmen Bekpes Hot, HaHaHa-Ngat.
Semuanya berlaku secara tiba-tiba apabila KJ dipecat daripada UMNO dan dalam masa sama stesen radio tersebut mengambil langkah bijak ‘mengikat’ bekas Menteri Kesihatan itu di posisi penyampai radio sejak 28 Januari 2023.
Selepas beberapa hari, pemilik nama lengkap Khairy Jamaluddin Abu Bakar, 48, secara rasmi menggantikan tempat Fara Fauzana yang mengerjakan umrah ketika itu.
Rancangan asalnya, KJ hanya menggalas tanggungjawab tersebut selama dua minggu sahaja tetapi sehingga kini dia duduk di kerusi deejay seterusnya melakar sejarah peribadi pada malam kemuncak ABP36 pada 11 Oktober lalu.
Berkongsi perkara tersebut, bekas Ahli Parlimen Rembau itu sempat menitipkan pesanan kepada orang ramai tentang aturan indah Yang Maha Pencipta selepas melalui kejatuhan dalam karier politik.
“Ucapan saya ketika menerima trofi cuma mahu sampaikan mesej kepada orang ramai bahawa kita perlu percayakan perancangan Allah.
Macam saya, pintu rezeki tertutup seperti dikeluarkan daripada dunia asal tetapi sebenarnya saya tak tujukan kepada sesiapa.
“Do the best, Allah will do the rest’ (buat yang baik, Allah akan bagi terbaik). Alhamdulillah, Dia buka pintu rezeki baharu buat saya,” katanya kepada HibGlam.
Dalam masa sama, KJ juga enggan mempedulikan kata-kata orang yang menganggap karier deejay sebagai menjatuhkan tarafnya.
“Saya tak rasa kekok atau pelik walaupun orang kata dulu saya menteri, sekarang jadi deejay.
Bagi saya, tak perlu rasa begitu malah, saya lebih bersyukur dapat peluang baharu.
“Setakat ini, saya rasa tak sia-sia terjun dalam bidang ini,” ujarnya.
Cara berkempen
Ditanya mengenai kesukaran berkempen dalam kategori sebelum tiba malam gemilang ABP36, KJ akui seronok walaupun perbezaan dengan kempen politik.
“Sangat susah juga sebenarnya berkempen untuk anugerah tetapi lebih menarik.
Saya pun ikut serta dalam proses berkempen sebab orang kata, KJ ahli politik harus jadikan macam kempen politik.
“Maka, saya boleh bawa nilai tersendiri dalam senario tersebut walaupun tiada kertas untuk pangkah calon pilihan,” jelasnya.
Selain itu, KJ berkongsi pengalaman ‘bertatih’ dalam konti radio yang dianggap sebagai hari pertama persekolahan walaupun pernah berkhidmat sebagai pengacara di NTV7 sekitar 1998.
“Cabaran saya kena belajar benda yang tidak tahu seperti hari pertama persekolahan.
Saya tidak tahu apa-apa dari A sampai Z tentang cara pembawakan dan penyampai.
“Ini memang sangat berbeza dari dunia lama saya dan saya perlu belajar dengan cepat,” kongsinya.
Pengalaman berharga
Tambahnya, pengalaman sebagai deejay begitu berharga yang tidak mungkin dapat diperoleh sekiranya dia kembali berkhidmat sebagai ahli politik kelak.
“Banyak sangat momen lucu dalam konti yang tidak dapat disebutkan satu persatu.
Biasalah, orang kata saya dah rosak dan dirosakkan terutamanya oleh Johan.
“Momen ini akan menjadi suatu kenangan indah andai saya kembali ke dunia lama satu hari nanti.
Meneruskan bicara, lelaki kelahiran Kuwait itu sangat berterima kasih kepada rakan seperjuangan, Johan, AG dan Fara Fauzana yang banyak membantu sejak hari pertama di dalam konti.
Saya tujukan kemenangan ini kepada rakan-rakan dalam konti kerana mereka ialah guru saya.
“Kemenangan ini disebabkan guru baik yang sedikit sebanyak memberikan kemahiran baharu,” tutur bapa kepada tiga orang anak itu.
Sebelum menggulung bicara, KJ memberikan bayangan untuk kembali ke liga asal dalam versi yang lebih baik.
Ini memang pengalaman berharga. Kalau selepas ini saya kembali menjadi ahli politik, saya kena ikut rentak lama.
“Apabila balik ke dunia asal, insya-Allah saya akan jadi lebih baik dari segi pemahaman orang ramai,” tutupnya. – HIBGLAM