PRIHATIN terhadap isu kemanusiaan global, Yayasan Nurjiwa menyalurkan sumbangan berjumlah RM500,000 yang diterima daripada syarikat Inayah Beauty kepada 2,500 keluarga di Gaza, Palestin.
Pengasas Yayasan Nurjiwa, Datuk Seri Siti Nurhaliza berkata, ketelusan adalah kunci setiap sumbangan, sekali gus menyuntik semangat kepada syarikat lain untuk sama-sama membantu sesama insan.
“Kami sentiasa memastikan penyumbang mengetahui ke mana sumbangan mereka disalurkan dan dengan itu, kami berkongsi aktiviti di media sosial supaya mereka dapat menjejaki bantuan yang diberikan, termasuk serahan makanan kepada anak yatim.
“Sifat sebegini boleh menjadi contoh terbaik buat rakyat Malaysia dan usahawan tempatan untuk bersama membantu mereka yang memerlukan bantuan di Palestin dan Malaysia.
“Alhamdulillah, syarikat kami memperuntukkan bahagian untuk kebajikan bahkan Yayasan Nurjiwa juga memberikan pengecualian cukai atas sumbangan disalurkan diberikan,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain membantu penduduk Gaza, Siti juga menegaskan komitmen Yayasan Nurjiwa dalam membantu rakyat Malaysia yang memerlukan apabila membantu warga tanah air air yang sedang menghadapi kesukaran.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Inayah Beauty, Dini Latifi, berkata bahawa keyakinan terhadap Yayasan Nurjiwa dan reputasi pengasasnya, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, antara faktor utama menyalurkan sumbangan kepada badan tersebut.
“Kerjasama dengan Yayasan Nurjiwa memberikan kami keyakinan kerana integriti dan kebolehpercayaan mereka terutama terhadap reputasi Siti memudahkan kami menyalurkan sumbangan dengan yakin bahawa bantuan akan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
“Tahun lalu, kami mengumpul RM300,000 disumbangkan bagi membantu penduduk di Gaza dan tahun ini, jumlah sumbangan bertambah kepada RM500,000 membabitkan 2,500 keluarga di sana,” ujarnya.
Akui Dini, usaha ini bukan hanya dianggap sebagai keperluan segera bahkan bertujuan untuk membina satu tradisi tahunan yang menyeluruh.
“Kami bercita-cita menjadikan kutipan ini sebagai acara tahunan dan berusaha memperkenalkan inovasi yang boleh menggalakkan lebih ramai lagi yang terbabit.
“Dalam keadaan sukar ini, menjadi tanggungjawab kita untuk membantu mereka yang terjejas selain membuka mata banyak pihak untuk turut membantu dan menjadi dorongan buat mereka yang berdepan dugaan.
“Setiap tahun, kami akan adakan kutipan agar menjadi satu aktiviti yang konsisten dengan berusaha untuk menambah baik dari pelbagai segi. Tahun ini, jumlah kutipan sumbangan meningkat kerana kami mengeluarkan produk baharu,” ujarnya.
Turut hadir pada sesi pengumuman sumbangan itu adalah barisan duta Inayah Beauty iaitu Fasha Sandha, Nora Danish dan Abby Abadi. – HIBGLAM