PENYANYI terkenal Datuk Seri Siti Nurhaliza mencuri tumpuan khalayak apabila mempamerkan kemampuan melakukan aksi pertarungan persis seorang srikandi di medan perang.
Menurut Siti, 45, hantaran yang dimuat naik dalam Instagram merupakan sedutan babak belakang tabir proses pembikinan video muzik lagu terbaharunya bertajuk Magis.
Ibu kepada dua cahaya mata itu turut mengakui sudah lama menyimpan hasrat membawakan watak srikandi.
“Memang impian saya melakonkan aksi srikandi. Semoga video muzik ini dapat diterima dengan baik.
“Terima kasih juga Astro (saluran Ceria) di atas kesempatan ini dan memilih lagu Magis sebagai OST (runut bunyi) drama Hikayat,” katanya.
Tambahnya, biarpun menjalani tempoh latihan yang singkat, babak pertarungan itu berjaya dilakukan dengan baik dan mengikut perancangan.
“Saya belajar teknik bertarung di lokasi dan bersyukur dapat laksanakan yang terbaik untuk masa ditetapkan.
Terima kasih guru seni pertahan diri, pelakon utama saya berlawan, pelakon kanak-kanak yang hebat, pelakon aksi lasak yang gigih bersama-sama bertahan di tengah panas terik.
“Pasukan produksi menjalankan kerja dengan pantas, penari saya dan semua yang terlibat menjayakan video muzik ini lebih menarik dan mengikut kehendak serta impian saya,” katanya.
Meninjau ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial meluahkan rasa bangga dan tidak menyangka Siti yang terkenal dengan perwatakan lemah lembut mampu melakukan babak aksi.
“Hebat betul tengok gaya Siti. Aku ingat (Tan Sri) Michelle Yeoh pakai tudung tadi.
Okey, selepas ini kita boleh hantar Tokti (Siti) masuk Oscar pula. Siapa tahu boleh menang.
“Jennifer Lawrence tengok pun menangis macam ini. Memang bakat Siti ini satu anugerah Tuhan tidak terhingga. Lepas ini boleh berlakon The Hunger Games versi Islamik,” antara komen netizen.
Dalam video sama, Siti dilihat menggayakan pakaian berwarna merah hati sambil memegang busur dan anak panah.
Turut kelihatan aktor Fadlan Hazim melakonkan babak pertarungan dengan Siti. – HIBGLAM
View this post on Instagram