MEMULAKAN pelayaran dalam arena seni sejak enam tahun lalu, nama si tinggi lampai Rita Nadira ternyata sudah lazim meniti di bibir peminat drama tempatan.
Membintangi deretan naskhah fenomena dengan disuakan pelbagai watak malah diburu usahawan untuk menjadikannya wajah bagi produk mereka, usaha keras pemilik nama sebenar Rita Nadira Mohd Ritamurni itu selayaknya dipuji.
Dihujani rezeki yang tidak putus, sudah pasti graf kehidupan termasuk angka dalam akaun bank juga sudah berubah ke arah lebih baik dan selesa.
Boleh dikatakan sudah lebih daripada cukup andai wanita berusia 26 tahun itu ingin membeli aset seperti rumah mahupun kereta mewah.
Pun begitu, Rita mengakui lebih selesa tinggal bersama ibu bapa dan adik-beradiknya walaupun mampu menyewa bahkan membeli kediaman sendiri.
Bosan tinggal sendirian selain mahu memanfaatkan masa dengan keluarga, itu antara faktor pelakon drama Pewaris Cinta itu enggan berjauhan apatah lagi tinggal berasingan.
“Bukan tidak boleh berdikari, sesetengah orang memang suka menyewa jauh daripada keluarga tapi saya pula lain. Saya yang enggan tinggal seorang diri sebab cepat bosan.
“Mungkin kalau nak duduk menyewa pun saya kena ada rakan serumah. Tapi kalau ada pula mungkin nanti bergaduh juga. Jadi, saya malas fikir dan seronok tinggal dengan keluarga.
“Syukur saya dapat jumpa mereka setiap hari. Lagipun, paling dekat dengan kita adalah keluarga. Lebih senang untuk saya luangkan masa dengan mereka, penat bekerja pun hilang apabila bersama insan tersayang,” katanya kepada Pose.
Ditanya tentang privasi dan masa untuk diri sendiri memandangkan sentiasa dengan keluarga, pelakon jelita itu menghiburkan dirinya dengan melancong ke luar negara.
Katanya, dengan cara sebegitu, penat lelahnya rasa berbaloi selain dapat melupakan sejenak soal kerja.
“Kerja itu kerja juga tapi kita kena hiburkan diri sendiri selepas penat bertungkus lumus mencari rezeki.
“Kalau ikutkan daripada awal kemunculan saya banyak berlakon drama panjang. Jadi apabila ada ruang untuk cuti panjang, saya akan pergi melancong, rehatkan minda dan ambil masa untuk diri sendiri.
“Dengan cara sebegitu, kita akan rasa seronok dan berbaloi dengan kerja keras yang dilakukan,” jelasnya.
Tambah Rita lagi, dia bersyukur bakatnya sudah mula dipandang apabila disuakan pelbagai tawaran yang tidak putus.
Bekerja dari subuh menjelang subuh esoknya, Rita tidak pernah merasa lelah sebaliknya seronok melakukan kerja yang dekat dengan jiwa.
“Drama pertama saya 30 episod, kemudian 28 episod. Malah ada juga 40 episod. Drama pendek hanya ada dua atau tiga sahaja. Begitulah seterusnya. Alhamdulillah tawaran tak putus-putus.
“Saya suka bekerja, mungkin sudah terbiasa daripada awal. Bila dapat tawaran drama episod saya anggap tiada apa-apa, maksudnya sudah bersedia untuk tidak mengeluh.
“Cara saya kekalkan momentum tenaga ialah menjaga pengambilan makanan, cukup rehat dan tak stres. Kita kena seronok dengan apa yang kita buat,” ujarnya menutup bicara. – HIBGLAM