PENGANJUR Konsert A Night With Sumandak Stars telah mengundang dua penyanyi kelahiran Sabah iaitu Azharina Azhar dan Ayu Damit bagi menggantikan tempat Stacy yang memilih undur diri minggu lalu.
Pengumuman itu dibuat menerusi sebuah hantaran dalam akaun Instagram Orange International Entertainment.
Memperkenalkan bintang sumandak yang ke tujuh dan ke lapan kami. Ayu Damit dan Azharina Azhar.
“Lagu apa yang anda nak dengar Azharina menyanyi pada konsert itu nanti selain lagu kegilaan ramai Elegi Sepi?” tulis mereka dalam hantaran tersebut.
Sementara itu, Azharina mengakui gembira akhirnya dia dapat menyertai konsert ini biarpun pada mulanya telah menolak sewaktu ditawarkan.
Sebenarnya tawaran ini hadir kepada saya terlebih dahulu sebelum Stacy. Ada beberapa syarat yang mereka (penganjur) tidak dapat ikut antaranya soal bayaran.
“Saya sudah 23 tahun berada di dalam industri. Kalau ikutkan dalam senarai penyanyi yang terlibat, saya yang paling senior.
Bila Stacy tarik diri, mereka sekali lagi menghubungi saya dan setuju dengan syarat-syarat yang saya tetapkan,” katanya.
Juara Gegar Vaganza musim ketiga ini turut bersyukur kerana selepas beberapa kali berunding akhirnya kedua-dua belah pihak bersetuju dengan syarat yang ditetapkan.
Alhamdulillahmereka setuju dengan soal harga dan sebagainya. Saya pun senang hati untuk berikan sokongan terhadap konsert ini,” ujarnya.
Terdahulu, pada hujung minggu lalu Stacy mengumumkan mengundur diri daripada terlibat dengan Konsert A Night With Sumandak Stars kerana pihak penganjur tidak dapat mengikuti syarat-syarat yang ditetapkanya.
Rekaan poster tersebut yang meletakkan wajah Bella Astillah di bahagian tengah juga dikatakan antara punca Stacy tarik diri.
Konsert A Night With Sumandak Stars yang akan berlangsung pada 30 November depan di Zepp Kuala Lumpur menampilkan barisan penyanyi kelahiran Sabah iaitu Marsha Milan, Adira Suhaimi, Nikki Palikat, Wany Kayrie, Bella Astillah, Didi Astillah. – HIBGLAM