POPULARITI yang dikecapi pelakon Siti Khadijah Halim bukanlah datang mudah, sebaliknya mengambil masa sekitar tujuh tahun untuk bakatnya menarik perhatian khalayak.
Meskipun sedar kontroversi cepat menaikkan nama seseorang selebriti, wanita berusia 27 tahun itu enggan mengambil jalan pintas, sebaliknya, menikmati perjalanan panjang dalam membina karier seninya.
Justeru, pemilik nama sebenar, Siti Khadijah Abdul Halim itu boleh dikatakan antara pelakon generasi baharu yang wajar dicontohi kerana popular tanpa sebarang kontroversi.
Perkara yang baik bolehlah diambil daripada saya, manakala yang buruk janganlah ikut. Soal kontroversi bagi saya adalah pilihan masing-masing sama ada mahu menggunakan jalan pintas atau jalan panjang.
“Namun, saya ingin kekal lama dalam industri dan mahu ada hubungan yang baik dengan semua orang, jadi saya menikmati perjalanan ‘manis’ saya meskipun mengambil masa agak panjang.
“Namun, perkara ini subjektif, saya tidak mahu komen banyak, mungkin saya juga akan melakukan kesilapan pada masa depan. Cuma sebolehnya, saya tidak mahu mencalarkan periuk nasi sendiri,” tutur Siti Khadijah.
Selain itu, Siti Khadijah juga harus menjaga tingkah laku demi menjaga namanya yang merujuk kepada isteri Nabi Muhammad iaitu Siti Khadijah.
Akuinya lagi, agak berat untuknya membawa nama tersebut, namun, sentiasa berusaha untuk mengekalkan imej baik dalam setiap perkara yang dilakukan.
Secara tidak langsung nama Siti Khadijah itu berat juga untuk dibawa. Saya suka dan tidak pernah malu dengan nama saya.
“Bahkan saya tidak peduli kalau orang cakap `nama saya kampung’. Cuma saya sedaya upaya elakkan untuk orang cakap nama sama seperti isteri nabi tetapi berperangai begini (yang tidak elok)
“Jadi, saya cuba elakkan dengan hindari daripada terpalit dengan sebarang kontroversi. Saya cuba jaga pemakaian dan perwatakan,” ujar Siti Khadijah.
Putus asa
Sungguhpun kini berdiri sebaris dengan pelakon popular yang lain, Siti Khadijah sebenarnya pernah putus asa untuk meneruskan karier dalam bidang lakonan.
Hakikatnya, dunia seni tidak seindah dan semudah disangka. Persaingan yang sengit ditambah dengan lambakan pelakon baharu antara faktor yang menyebabkan Siti Khadijah hampir berputus asa.
Memang pernah ada rasa mahu berputus asa, tetapi akhirnya saya masih di sini. Saya sendiri tidak sedar bahawa saya seorang yang kuat dan tidak mudah menggalah.
“Berkat sekongan rakan, peminat dan keluarga membuatkan saya teruskan kerjaya seni dan sekarang orang sudah mula menghargai serta mengiktiraf bakat saya,” katanya.
Memulakan langkah dalam bidang seni pada usia 20 tahun selepas memenangi pertandingan Gadis Panca 2017, Siti Khadijah mengakui pada mulanya dia tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk berjaya.
Malah, dia yang sebelum ini menjadi model sambilan untuk produk fesyen jenama tempatan hanya mencuba nasib.
“Jujur, saya langsung tidak ada harapan yang tinggi dalam industri seni dan ketika masuk pertandingan Gadis Panca saya tidak pernah sangka akan menang.
Alhamdulillah rezeki saya ada di siti dan hasil kerja serta kejayaan hadir seiring dengan populariti. Perjalanan saya dalam bidang seni masih terlalu panjang dan ada impian yang ingin saya capai.
“Cuma buat masa sekarang saya hanya mengikut arus dan belajar sebanyak yang boleh untuk memperbaiki diri sebagai pelakon serta individu,” luahnya.
Sambung pemilik Diploma Komunikasi Media Baru & Keusahawanan Kandungan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, Melaka itu, andai tidak bergelar pelakon berkemungkinan besar dia telah bergelar seorang pekerja korporat.
“Jika saya tidak berlakon, mungkin akan mencari pekerjaan yang stabil dan boleh naik pangkat, contoh dalam bidang korporat sebagai pekerja bahagian sumber manusia atau pegawai perhubungan awam.
Saya suka kerja yang berjumpa orang ramai, tetapi rezeki sudah tertulis untuk menjadi pelakon, jad, saya cuba sehabis baik sebab ingin berlakon dalam tempoh yang lama,” jelas Siti Khadijah.
Karier
Selepas kejayaan luar biasa pada musim pertama tahun lalu, Siti Khadijah kembali sebagai Karma dalam drama From Saga With Love musim kedua yang disiarkan di laman penstriman Viu.
Berkongsi tentang drama yang menjalani penggambaran di Saga, Jepun, kata Siti Khadijah selain bekerja mereka ibarat bercuti sepanjang sebulan berada di sana.
Seronok sangat kerja sambil dapat melihat negara orang. Tambahan kami semua memang rapat, jadi tidaklah rasa begitu tertekan sepanjang bekerja.
“Kami semua membantu antara satu sama lain untuk menghidupka lagi watak. Cuma untuk musim kedua, Karma sedikit matang. Saya tidak boleh melakonkan watak Karma yang begitu lurus bimbang orang meluat,” katanya.
Disoal tentang cabaran sepanjang penggambaran, selain cuaca sejuk, perbezaan bahasa juga antara perkara yang mencabar dan memerlukannya belajar bahasa Jepun bagi memudahkan komunikasi.
“Cuaca sejuk dan kami semua pula apabila penggambaran pakaian tidak tebal sehingga ada yang jatuh sakit.
“Kemudian kami semua berselera Melayu, jadi banyak mengidam makanan Malaysia sepanjang di sana. Nasib baik, pelajar Malaysia di sana meraikan kami jadi dapat juga makan nasi beriani di Jepun (ketawa).
Bahasa memanglah berbeza, jadi saya ada belajar sedikit dan selebihnya menggunakan teknologi aplikasi alih bahasa bagi memudahkan komunikasi dengan orang di sana,” tutur Siti Khadijah.
Drama From Saga With Love 2 yang merupakan siri Viu Original telah mula ditayangkan pada 17 Oktober lalu.