‘Saya akan bertudung juga suatu hari nanti’

PEMPENGARUH media sosial terkenal, Ameera Khan mengakui menunggu masa yang tepat untuk memenuhi kewajipan menutup aurat dengan memakai hijab.

Meskipun pernah bertudung, Ameera, 24, tekad untuk berhijab sepenuhnya tanpa perlu ada perasaan berbolak-balik apabila sampai waktunya nanti.

“Soalan ini saya tanya diri saya banyak kali bila nak pakai tudung. Dalam hidup, saya pakai tudung dalam dua ke tiga kali dan selalu buka balik.

Kalau nak pakai tudung saya mahu pakai sampai bila-bila tanpa buka.

“Insya-Allah dengan doa mama, daddy dan semua, saya akan pakai juga tudung suatu hari nanti,” katanya dalam sebuah siaran langsung.

Bagaimanapun, adik kepada selebriti Neelofa itu menegaskan bukan dirinya tidak bersedia untuk bertudung cuma hanya menunggu waktu sesuai.

“Tiada kena mengena dengan kenyataan saya belum bersedia untuk pakai, saya tak boleh cakap begitu.

Apa yang boleh saya cakap, insya-Allah apabila sampai waktu tepat saya doa Allah permudahkan urusan saya.

“Saya juga doakan sesiapa yang menonton video ini dipermudahkan untuk pakai tudung,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, Ameera menjadi buah mulut netizen apabila menimbulkan kekeliruan dengan imejnya yang tidak konsisten.

Dalam masa sama, netizen mendoakan pempengaruh sensasi itu kekal istiqamah dan mengikut jejak langkah kakaknya, Neelofa menutup aurat sepenuhnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok