BUKAN hanya ibu dan adik, hubungan penyanyi Shila Amzah dengan Datuk ND Lala juga sudah kembali jernih apabila bapanya itu dilihat berada dimajlis akikah anak keduanya, Rhea Akira, baru-baru ini.
Shila atau nama lengkapnya Nurshahila Amir Amzah, 34, turut menzahirkan rasa syukur dengan kehadiran semua pihak yang meluangkan masa menghadiri majlis keluarga kecilnya itu.
Sehari sebelum berangkat ke China, kami mengadakan majlis akikah bagi meraikan anak perempuan kami, Rhea Akira.
“Terima kasih kepada semua ahli keluarga dan kawan-kawan yang sudi hadir memeriahkan majlis kami,” katanya dalam hantaran Instagram.
Isteri kepada pempengaruh, Ubaiatau Muhammad Ubaidillah Mohd. Zulkefli, 26, itu tidak ketinggalan berkongsi foto bersama bapanya yang lengkap berbaju Melayu rona biru.
Sebelum ini hubungan Shila dengan ND Lala juga penyanyi dan pelakon senior dingin selepas bapanya itu berkahwin lain dan kemudian menceraikan ibunya, Fauziah Sarman.
Terdahulu, pada majlis sama Fauziah juga dilihat berada di sisi puteri sulungnya itu dan menantu, sekali gus momen tersebut menggembirakan hati ramai.
Kemelut antara mereka berdua dan Syada iaitu adik bongsu Shila pula berlaku sekitar Oktober tahun lalu apabila penyanyi terbabit mahu menjual banglo miliknya yang didiami keluarga namun ingin diganti dengan kediaman lain.
Rata-rata netizen menzahirkan rasa terharu melihat pertemuan semula keluarga terbabit bahkan memuji suami Shila yang disifatkan berjaya menyatukan mereka kembali.
Ubai contoh suami yang baik, boleh kumpulkan semua ahli keluarga yang terpisah. Isteri yang baik adalah hasil didikan suami,” kata seorang pengikutnya.
“Pada akhirnya, keluarga adalah segala-galanya. Teruskan berkasih sayang,” komen netizen lain.
Terdahulu, Shila dan Ubai mendirikan rumah tangga pada tanggal 5 Ogos 2023 dan dikurniakan cahaya mata perempuan pada 9 Mei lalu.
Sebelum ini, penyanyi yang menempa nama di China itu pernah berkahwin dengan Haris Idraki pada 2018 sebelum bercerai pada 2022.
Hasil perkongsian hidup tersebut, mereka dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Seth Uwais, 6. – HIBGLAM