BEKAS suami rancang bersanding andai bersatu kembali, penyanyi Adira Suhaimi lebih selesa tidak mengulas perkara tersebut bagi mengelakkan sebarang salah faham.
Kata Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi, buat masa ini dia hanya menyerahkan soal jodoh kepada Allah kerana takut untuk enggan memberikan komen terhadap perkara yang belum pasti.
“Majlis resepsi? Saya takut nak ulas sebenarnya. Risau kena kecam sebab nanti boleh cetuskan salah faham kalau tersilap cakap.
“Bukan apa, macam saya sebut sebelum ini kalau ada jodoh antara kami ada lah, semuanya kita serahkan kepada ketentuan Allah,” katanya ketika dihubungi HibGlam.
Menurut ibu tunggal kepada empat anak itu, kehidupan hariannya kini semakin padat dengan jemputan persembahan serta menguruskan perniagaan.
Katanya, dia juga tidak meletakkan tarikh tertentu terhadap hala tuju hubungan disebabkan mahu memberi ruang kepada bekas suaminya, Datuk Red atau Datuk Seri Adnan Abu mengukuhkan kerjayanya dahulu.
“Apa yang pasti kita ikut aturan Tuhan. Lagipun tak manis kalau saya banyak bercakap fasal hal peribadi. Lebih baik saya tumpukan perhatian terhadapnya anak dan kerja.
“Sebagai ibu tunggal saya kena kuat bekerja demi anak-anak. Alhamdulillah, doakan sahaja anak-anak saya sihat sejahtera,” ujarnya.
Terdahulu, Datuk Red ketika mengadakan siaran langsung dalam TikTok menyebut ingin merealisasikan impian Adira untuk mengadakan resepsi seandainya mereka kembali sebagai suami isteri.
Katanya, perkara itu pernah disuarakan penyanyi terbabit memandangkan sebelum ini mereka bernikah di luar negara itu tanpa sebarang majlis.
Ahli perniagaan berusia 46 tahun itu turut berharap orang ramai mendoakan agar impian bekas isterinya itu dapat direalisasikan.
Perancangannya meraih sokongan netizen yang rata-rata meninggalkan komen mendoakan dia dan Adira dapat bersatu semula secepat mungkin.
Sebelum itu, mereka bernikah di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015, namun bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Kuang, Selangor pada 24 April 2024.
Tiga bulan selepas berpisah Adira memberi bayangan sedia kembali ke pangkuan bekas suaminya itu, namun tidak memberi butiran lanjut.
Hasil perkahwinan itu dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Anggrek, 7, Asan, 6, Anggun, 5 dan Ayob yang kini berusia dua tahun. – HIBGLAM