PENYANYI yang juga penyampai radio, Dina Nadzir mendedahkan perubahan bentuk badannya sekarang bukan disebabkan amalan diet seimbang.
Sebaliknya, Dina atau nama sebenarnya Faradina Mohd. Nadzir, 39 memberitahu, rasa rendah diri dan berpendapat bentuk fizikal yang hodoh menjadi punca untuk menukar gaya hidup.
“Ramai yang bertanya kepada saya bagaimana boleh menurunkan berat badan begitu ketara. Kebenarannya ialah saya tidak gembira.
“Saya rasa tidak cukup baik, tidak cukup cantik, tidak layak untuk dicintai. Saya rasa diri ini serba-serbi tidak mencukupi.
“Saya rasa hodoh, saya tiada nilai. Biarpun saya sudah mencapai pelbagai kejayaan sepanjang tempoh 20 tahun dalam industri, tetapi saya tetep berada diri ini tidak bernilai,” katanya dalam satu hantaran di InstaStory.
Biarpun berdepan dengan kesukaran untuk mencapai kebahagiaan, Dina bagaimanapun berjaya menemui jalan keluar dengan melakukan beberapa perubahan.
Langkah awal yang dibuat ialah menghubungi semula kenalan lama bagi mendapatkan pandangan sekali gus mencari ‘dirinya’ yang hilang.
“Saya mula mencabar diri secara emosi, mental dan fizikal. Mengharapkan akan ada sesuatu yang dapat terus ‘menghancurkan’ sehingga membuatkan saya rasa lebih teruk
“Tetapi saya sebaliknya menemui perkara baharu yang mana bintang-bintang, laut, matahari dan perkara yang dahulunya saya benci, kini sangat suka untuk dilakukan.
“Saya terus melakukan beberapa aktiviti fizikal yang dahulunya dibenci, tetapi sekarang diharapkan dapat terus membantu saya untuk menurunkan berat badan,” katanya.
Terdahulu, pelakon telefilem Baby-Sita itu pernah memberitahu berjaya menurunkan berat badan sebanyak 10 kilogram dalam tempoh sebulan selepas mengamalkan pemakanan sihat. – HIBGLAM