DUNIA hiburan Korea Selatan sentiasa diwarnai dengan kehadiran bintang-bintang yang mencipta nama melalui pelbagai pencapaian luar biasa.
Dalam industri kompetitif itu, kejayaan seseorang artis bukan sahaja diukur menerusi populariti tetapi juga jumlah anugerah diraih yang menjadi simbol pengiktirafan atas usaha gigih serta bakat luar biasa mereka.
Setiap tahun, pelbagai majlis anugerah diadakan, menampilkan pencapaian terbaik dalam dunia muzik, lakonan, dan pengacaraan. Artis berprestasi cemerlang akan menerima trofi yang diidamkan ramai, sekali gus melonjakkan lagi status mereka.
Dari Golden Disk Awards hingga Baeksang Arts Awards, itu antara yang menjadi rebutan ramai.
Kimchi Panas kali ini merangkumkan kisah selebriti Korea yang paling menonjol dengan pencapaian hebat masing-masing dalam deretan majlis anugerah sekali gus menjadi dambaan ramai.
BTS
Tidak boleh dinafikan, BTS merupakan fenomena global yang mengubah landskap muzik K-pop. Sejak debut pada tahun 2013, kumpulan tersebut telah merangkul ratusan anugerah dalam dan luar negara seperti Amerika Syarikat.
BTS dikenali sebagai kumpulan Korea pertama yang memenangi anugerah Billboard Music Awards sekali gus menjadikan mereka bintang K-pop pertama kali diiktiraf di pentas antarabangsa.
Kehebatan mereka bukan sahaja pada majlis anugerah muzik Korea seperti Seoul Music Awards dan Gaon Chart Music Awards malah, Grammy Awards.
Mereka juga berjaya meraih anugerah pada American Music Awards, MTV Video Music Awards, dan People’s Choice Awards.
Dengan lebih 400 anugerah diraih di pelbagai peringkat, BTS kini berdiri teguh sebagai kumpulan K-pop yang paling banyak menerima pengiktirafan.
IU
IU atau nama sebenarnya Lee Ji-eun bukan sekadar seorang penyanyi berbakat, malah dia juga berjaya menempatkan diri sebagai seorang pelakon yang berkaliber.
Bermula sebagai penyanyi remaja, idola berusia 31 tahun itu berjaya menambat hati pendengar dengan suara uniknya menerusi lagu-lagu yang penuh emosi.
Mekar mewangi sebagai penyanyi dan pelakon, dia terus mendakap tuah apabila mampu untuk memenangi anugerah dalam pelbagai cabang seni.
Penyanyi lagu Good Day itu seringkali menjadi penerima utama pelbagai majlis anugerah muzik termasuklah Melon Music Awards, Golden Disk Awards, dan Mnet Asian Music Awards.
Tidak terhenti di situ, IU juga mengembangkan sayapnya ke dunia lakonan dan berjaya meraih anugerah melalui lakonannya menerusi drama My Mister dan Hotel Del Luna.
Kim Soo-hyun
Kim Soo-hyun bukan sahaja pelakon yang digilai ramai, malah dia juga dianggap sebagai raja anugerah dalam industri hiburan Korea.
Sejak kemunculannya melalui drama Dream High, nama lelaki berusia 36 tahun itu mula meniti di bibir peminat.
Kehebatannya dalam bidang lakonan mula terserlah selepas membintangi drama Moon Embracing the Sun yang meraih pelbagai trofi.
Dia berjaya merangkul trofi termasuklah Baeksang Arts Awards, APAN Star Awards dan Korea Drama Awards.
Sehingga kini, jejaka tinggi lampai itu berjaya merangkul lebih 30 trofi berprestij dalam kategori pelakon terbaik, sekali gus menjadikannya antara aktor paling dihormati di Korea Selatan.
Song Hye-kyo
Song Hye-kyo merupakan bintang yang tidak pernah gagal mencuri perhatian peminat dan juri anugerah.
Sejak mencipta nama melalui drama Autumn in My Heart, dia berjaya mengukuhkan kedudukannya sebagai salah seorang pelakon wanita terhebat di Korea.
Sepanjang kerjayanya, Hye-kyo, 42, berjaya merangkul pelbagai anugerah lakonan, termasuklah Baeksang Arts Awards, KBS Drama Awards dan Blue Dragon Film Awards.
Namanya sering kali dicalonkan dalam kategori pelakon wanita terbaik, dan kebanyakannya berakhir dengan kemenangan.
Dengan lebih 40 trofi kemenangan dalam genggamannya, wanita tinggi lampai itu terus menjadi pelakon yang dikejar sutradara dan terus relevan di mata para peminat. – HIBGLAM