BERDEPAN saingan sengit bagi kategori Aktres TV Popular pada Anugerah Bintang Popular ke-36 (ABP36), sekali lagi rezeki berpihak kepada Anna Jobling apabila membawa pulang kemenangan.
Merangkul trofi sama seperti edisi musim lalu, pelakon berdarah kacukan Melayu-Inggeris itu menewaskan Siti Saleha, Sophia Albarakbah, Hannah Delisha dan Bella Astillah.
Akuinya, kesibukan menjalani penggambaran filem baharu, selain sesekali ‘terbang’ ke Indonesia demi memenuhi komitmen kerja membuatkannya kurang berkempen.
Memang datang malam ini (Sabtu) tanpa sebarang jangkaan untuk menang kerana niat saya hanyalah mahu berseronok bersama teman seindustri.
“Bukan tak teruja dicalonkan, cuma saya sibuk dengan penggambaran tetapi saya mengaku sesekali ada juga saya ingatkan mereka untuk mengundi,” katanya kepada Pose.
Buru gelaran terbaik
Kini sasaran Anna atau nama sebenar, Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman selepas memenangi anugerah popular adalah merangkul trofi aktres terbaik.
Baginya, untuk sampai ke tahap itu bukan mudah sekali gus mendorongnya melipatgandakan usaha dengan lebih banyak belajar serta mempertajamkan skil lain.
Siapa tidak mahu menjadi pelakon yang bagus dan versatil? Jadi kita kena fokus dan jangan malu untuk belajar. Sekarang saya juga hadiri kelas bahasa Indonesia.
“Itu adalah persediaan memandangkan ada beberapa projek di seberang yang bakal saya sempurnakan selepas filem Lembayung dan Tengah Laut,” ujarnya.
Berkongsi mengenai kemampuannya menembusi industri perfileman Indonesia, akuinya bukan sedikit pengorbanan dilakukan dalam memburu impian seterusnya membawa nama negara di arena global.
Lebih dulu dikenali di seberang hasil populariti drama rantaian Melur Untuk Firdaus sekitar dua tahun lalu, langkah aktres terbabit bertambah deras sehingga dipilih menerajui filem Lembayung dan Laut Tengah.
Diaju banyak tawaran
Bahkan, kepercayaan syarikat penerbitan dari Indonesia itu bagai bertali arus apabila selepas itu rumah produksi lain pula mengajukan tawaran untuknya menerajui karya mereka sehingga sanggup menunggu jadualnya kosong.
Bagi Anna, usaha tidak akan mengkhianati hasil asalkan disertai kesungguhan berterusan supaya mampu kekal releven.
“lhamdulillah, sejujurnya saya berbesar hati dengan sokongan serta tangan terbuka penggiat seni di negara itu yang mengalu-alukan kehadiran saya.
“Bekerja dalam suasana baharu serta orang yang belum pernah kita bekerjasama juga menyuntik pengalaman berharga.
“Apabila diberi kepercayaan, tidak kira daripada penerbit tempatan mahupun Indonesia, misi saya adalah beri hasil terbaik kerana kesungguhan yang menjadi portfolio kita nanti biar di mana kita bekerja,” katanya.
Pakej lengkap
Tidak sekadar jelita dan berbakat besar, figura tinggi lampai yang asalnya berjinak-jinak di arena peragaan di bawah tunjuk ajar model Amber Chia turut mempunyai kelompok peminat tegar.
Sekali gus, pakej lengkap serta menjadi ratu di mata peminat tegar menangkis suara skeptikal segelintir individu yang mempertikaikan kononnya kemaraan menembusi industri perfileman adalah atas bantuan ‘kabel’.
“Dalam mengatur perjalanan kerjaya saya tidak sendirian, sebaliknya dibantu pasukan yang mantap termasuk syarikat pengurusan dan seperti rakan seperjuangan lain, saya juga menjalani sesi uji bakat.
Penerimaan ramai termasuk penonton di negara jiran juga merupakan bonus kerana merekalah yang akan ke pawagam nanti.
“Tidak timbul soal ‘kabel’ atau dapat jalan mudah menempa ruang di negara orang, tambah-tambah di sana juga ramai pelakon yang bagus. Mungkin saya tidak bercerita berapa kali saya pernah ‘ditolak’,” ujarnya.
Hargai peminat
Sentiasa mengenang jasa penyokong sejak menceburi arena seni bermula tahun 2018, sama ada peminat tempatan atau di Indonesia, katanya, kedua-dua kelompok ini sentiasa menjadi tunjang kerjaya seninya.
Saya bertuah kerana selain keluarga dan syarikat pengurusan, ramai peminat yang setia berada di belakang saya sejak dari dulu sampailah ke hari ini.
“Selama ini pun banyak kali pengurusan dan peminat berganding bagi menjayakan apa-apa aktiviti, kiranya Anna Jobling Fan Club memang aktif,” kongsinya dengan bangga.
Mengakui perjalanan kerjayanya tampak mudah, hakikatnya banyak pengorbanan masa dan tenaga dilakukan demi memenuhi tawaran di kedua-dua negara.
Begitupun, wanita peramah itu tidak menganggap waktu yang diperuntukan bagi berulang-alik antara Kuala Lumpur dengan Jakarta sebagai bebanan.
Kebiasaannya kalau ada kerja di sana (Indonesia) saya akan menetapkan berada di sana ikut tempoh projek. Agak memenatkan kalau secara tiba-tiba ada urusan penting yang saya perlu dihadiri.
Namun itulah harga yang perlu dibayar sebagai seorang pelakon,” tutupnya yang kini rancak menjalani penggambaran Duyung: Legenda Aurora di Langkawi. – HIBGLAM