TINDAKAN peminat yang meratap dan menangis dalam majlis perhimpunan kematian bekas anggota One Direction iaitu Liam Payne di Indonesia mengundang pelbagai reaksi masyarakat Malaysia.
Rata-rata warga maya meluahkan rasa kurang senang kerana perbuatan tersebut dikhuatiri akan menjejaskan akidah mereka yang beragama Islam.
“Mengapa mereka yang memakai tudung pun turut ikut serta meratapi kematian selebriti yang bukan beragama Islam. Payne ini meninggal bukan main menangis, tetapi di Palestin sudah ribuan yang meninggal, tidaklah sedih seperti ini.
“Apa yang aku faham, sebagai muslim, haram untuk kita mendoakan kesejahteraan orang bukan Islam selepas kematiannya. Tetapi kalau Payne ini ahli keluarga ke lain pula.
“Bukan nak kutuk, tetapi tidak mengira sama ada bagaimana seseorang bukan Islam itu meninggal dunia, kita yang beragama Islam ini jangan sampai hendak membelakangkan agama,” antara komen netizen.
Dalam pada itu, orang ramai turut mengingatkan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) agar mengambil tindakan terhadap penganjuran perhimpunan memberi penghormatan terakhir buat penyanyi itu yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pada 26 dan 27 Oktober ini.
Difahamkan, acara berkenaan dianjurkan oleh sebuah stesen radio berbahasa Inggeris tempatan.
“Mesti ada yang datang nanti. Kemudian golongan agamawan akan bersuara untuk peringatan. Moga terhindar daripada perkara bercanggah.
“Diharapkan mereka yang beragama Islam itu sedar diri dan tidak terikut-ikut dengan budaya yang boleh menjejaskan iman.
“Semoga JAKIM keluar notis larangan haram untuk Muslim,” komen peminat.
Pada 16 Oktober, dunia dikejutkan dengan berita kematian Liam yang maut selepas terjatuh dari tingkat tiga balkoni hotel di Buenos Aires, Argentina.
Mendiang meninggalkan seorang anak lelaki yang kini berusia tujuh tahun, Bear hasil hubungan dengan bekas kekasihnya yang juga penyanyi Cheryl Cole. – HIBGLAM