KUMPULAN muzik popular Kugiran Masdo mengukir sejarah tersendiri apabila tercalon sebagai wakil Malaysia dalam kategori Artis Asia Terbaik di acara berprestij anugerah MTV EMA 2024 yang akan berlangsung di Manchester, England pada 11 November nanti.
Berkongsi kegembiraan vokalisnya, Ali Sariah, 32, berkata, pencalonan tersebut merupakan pencapaian yang sangat bermakna buat mereka selepas hampir sedekad bergelar anak seni.
Masdo bagaimanapun enggan meletakkan harapan tinggi kerana perlu berentap dengan barisan artis hebat seluruh Asia.
“Kami mendapat pengesahan mengenai pencalonan sekitar seminggu lalu.
Seperti biasa, kami tidak meletakkan harapan tinggi, sudah tercalon pun cukup bangga dan berpuas hati.
“Sekiranya menang, memang satu bonus buat Masdo. Setakat ini, belum ada sebarang kepastian lagi kami akan menghadiri acara itu nanti,” katanya.
Selain Ali, Masdo turut dianggotai Putu Ceri (bass) dan Asmawi (gitaris).
Artis Asia lain yang tercalon dalam kategori sama adalah Mahalini dari Indonesia, ILLIT (Korea Selatan), BINI (Filipina) dan Sakurazaka46 (Jepun).
Penentuan pemenang akan dibuat menerusi undian yang sudah dibuka menerusi laman web rasmi anugerah itu.
MTV EMA adalah acara meraikan industri muzik dan budaya pop seluruh dunia yang dihadiri nama-nama hebat dalam industri hiburan.
Pencalonan tahun ini menyaksikan dominasi artis wanita dan bintang pop sensasi, Taylor Swift mendapat pencalonan terbanyak iaitu tujuh kategori termasuk Artis Terbaik, Video Terbaik, Pop Terbaik dan lain-lain.
Turut unggul tercalon adalah Billie Eilish, Arian Grande, Charlie XCX, Sabrina Carpenter, Ayra Starr, Beyonce, Kendrick Lamar, dan LISA. – HIBGLAM