SEBAGAI penyanyi yang mahu kekal relevan dalam industri, tiada erti berehat dalam jangka masa panjang.
Sama seperti penyanyi Dayang Nurfaizah yang tidak henti-henti mencari formula baharu untuk menghasilkan karya agung.
Selepas peluncuran album Belagu II tahun lalu, Dayang atau Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 43, kini mempertaruhkan single berjudul Lemah yang merupakan karya daripada album studio ke-11, Janji.
Sekali lagi bekerjasama dengan Hael Husaini sebagai komposer, Lemah menyelami emosi seseorang dengan mendalam.
Penyanyi asal Sarawak itu berharap karya terbaharunya yang dikategorikan sangat bermakna tersebut dapat menyentuh jiwa pendengar.
“Lagu ini sangat bermakna bagi saya. Saya telah mencurahkan hati saya ke dalam Lemah dan harap dapat menyentuh pendengar dengan mendalam,” katanya.
Berkongsi lanjut, Dayang menganggap kerjasama dengan Hael satu pengalaman indah selain tidak sabar mahu melihat reaksi terhadap hasil air tangan komposer terbabit.
“Bekerja dengan Hael sentiasa menjadi pengalaman yang luar biasa.
“Keterampilan muziknya dalam mencipta melodi yang indah dengan emosi tulus dan tema yang boleh dikaitkan memang tiada bandingan.
“Saya tidak sabar untuk melihat bagaimana kerjasama terbaharu kami berkembang,” ujarnya lagi.
Tidak hanya penyanyi, sebagai komposer, Hael Husaini juga teruja kembali bekerjasama dengan Dayang memandangkan alunan suara wanita itu yang dianggap sangat istimewa.
“Bekerja dengan Dayang adalah satu penghormatan.
“Suara dan tafsirannya memberi jiwa kepada lagu dengan cara yang benar-benar istimewa,” jelasnya.
Album yang memuatkan 13 lagu berjudul Janji mempamerkan kedalaman emosi dan kepelbagaian Dayang dalam mempersembahkan campuran balada serta lagu berentak rancak, semuanya berpusat pada tema cinta, harapan dan kekuatan.
Biarpun dijadualkan pelancaran rasmi hari ini, Dayang awal-awal lagi menerima berita gembira apabila lagu Lemah telah mula diputarkan di pelbagai stesen radio sejak beberapa hari lalu.
Setakat ini, prapesanan album baharunya, Janji juga telah habis dijual sebelum pelancaran penuh Janji pada 22 November kelak. – HIBGLAM