TIDAK mampu menanggung rindu, perkara pertama yang ingin dilakukan pelakon Datuk Remy Ishak sebaik dibenarkan keluar wad adalah bertemu anaknya, Tuah Alam.
Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak, 42, berkata, ini merupakan tempoh paling lama dia dimasukkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan.
Lama kali ini saya ‘check-in’. Perkara pertama nak buat adalah jumpa anak saya, Tuah,” katanya dalam hantaran di Insta Story.
Bintang filem Sangkar itu berkongsi perkembangan kesihatannya selepas diserang deman denggi awal minggu ini.
Difahamkan, Remy menerima rawatan di sebuah pusat perubatan di ibu negara selama empat hari sebelum dibenarkan pulang hari ini.
Menerusi perkongsian sama, aktor terbabit turut menunjukkan rambutnya yang dikatakan semakin panjang.
Berikutan tahap kesihatannya, doktor turut menasihatkannya mendapatkan rehat mencukupi sebelum kembali bekerja.
Menerusi perkahwinannya dengan usahawan Roszaliza Yusof, 41, pada 20 Ogos 2021, mereka dikurniakan seorang putera, Tuah Alam yang kini berusia 14 bulan. – HIBGLAM