PELAKON Adam Lee menegaskan penurunan berat badannya ketika ini bukan disebabkan menghidapi penyakit misteri atau kronik seperti diperkatakan ramai.
Adam atau nama penuhnya Muhamad Arif Adam Mohamed Fadlee, 30, berkata, berat badannya turun sebanyak 30 kilogram (kg) kerana mengawal pengambilan makanan bergula dan senaman yang konsisten.
“Berat badan turun sebab kurangkan pengambilan gula sebab sebelum ini saya adalah pencinta makanan manis dan memang sangat dasyat.
“Daripada berat saya 93kg, kini hanya 74kg.
“Pengambilan nasi masih macam biasa cuma pencuci mulut sahaja saya kurangkan selain aktif dengan aktiviti sukan seperti muay thai,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Adam dalam masa sama menepis dakwaan ramai yang beranggapan berat badannya turun mendadak disebabkan ilmu hitam atau sihir.
Ujarnya, kawalan makanan tersebut juga membantunya mendapat tubuh badan yang lebih sihat berbanding sebelum ini.
“Saya tidak ada sebarang penyakit atau ‘sakit’ disebabkan orang hantar. Semua itu tiada.
“Diet ini saya lakukan sejak sebelum bulan Ramadan lalu kerana ingin jaga kesihatan dan dapatkan berat badan lebih ideal.
“Memang sahaja orang yang bertanya keadaan kesihatan saya kerana semakin kurus. Saya okey dengan penampilan sekarang tetapi kena naikkan sedikit pada bahagian otot,” ujarnya.
Suami kepada pelakon Sweet Qismina itu turut mengakui pernah terleka daripada menjaga kesihatan diri terutama menjaga pengambilan makanan sejak mendirikan rumah tangga.
“Saya juga terlupa jaga berat badan selepas berkahwin. Kemudian isteri tegur berat badan semakin naik selain melihat kerjaya ramai pelakon lain semakin rancak.
“Semua itu buat saya sedar dan terus ambil keputusan untuk dapatkan berat badan lebih ideal dan ‘fit’ seperti hari ini,” tuturnya. – HIBGLAM