TEMPOH 12 tahun melayari batera rumah tangga pastinya pelbagai onak duri ditempuhi pasangan suami isteri popular, Awal Ashaari, 43, dan Scha Al-Yahya, 41.
Kehadiran dua cahaya mata perempuan iaitu Lara Alana, 10 dan Lila Amina, 3 menjadi pelengkap kehidupan pasangan itu, sekali gus menguatkan lagi ikatan perkahwinan mereka.
Menyedari ramai pasangan selebriti gagal menyelamatkan rumah tangga mutakhir ini, Awal dan Scha turut terkesan serta bersimpati.
Kata Scha, dia dan Awal sama sahaja seperti pasangan suami isteri lain turut diuji masalah namun tidak dipaparkan kepada umum.
Kami bukanlah pasangan bahagia seperti yang diperkatakan ramai. Kami sendiri masih mencuba. Kami pun ada pergelutan tersendiri. Setiap hari ada sahaja masalah, ada sahaja perkara yang membuatkan kita tidak gembira.
“Tahun ini sudah masuk tahun ke 12 usia perkahwinan kami. Bila makin lama bukan makin harmoni. Kadang-kadang lebih teruk pergaduhan yang berlaku. Sebab kita terlalu meletakkan harapan yang tinggi.
“Tetapi kami cuba sedaya upaya untuk mengatasinya. Setiap hari kami cuba perbaiki setiap masalah yang timbul,” katanya sewaktu ditemui pada majlis pelancaran koleksi terbaharu Kita&Co baru-baru ini.
Jalan terakhir
Awal pula seboleh-bolehnya meletakkan perpisahan sebagai pilihan terakhir Baginya, kehidupan yang dijalani bukan melibatkan seorang individu sahaja.
“Setiap manusia ada pilihan sama ada untuk terus kekal dalam hubungan atau berpisah.
“Tetapi saya selalu cakap dengan Scha, biarpun kita ada kuasa untuk teruskan hidup secara individu tetapi kena fikir banyak faktor.
“Kita bukan hidup di dunia ini berdua sahaja. Kita telah lahirkan dua anak. Kita mempunyai keluarga yang sangat erat. Banyak tanggungjawab.
Jadi, seboleh-bolehnya sebelum kita buat sesuatu keputusan itu biarpun berada dalam keadaan marah macam mana sekalipun, kena tolak tepi perceraian. Itu adalah jalan terakhir. Kalau sudah tidak boleh sangat, barulah kita ke arah itu (perceraian).
“Tetapi selagi boleh bertahan, tak kisahlah dua tiga hari tak bertegur atau tidur pusing tempat lain. Pastikan diri kita sudah berada dalam keadaan tenang, barulah kita berbincang dengan baik. Komunikasi sangat penting dan perlu memahami pasangan masing-masing,” ujarnya.
Ditanya berapa lama masa yang diambil untuk memulihkan hubungan selepas bergaduh, kata Awal, isterinya cepat sejuk hati tetapi dia sendiri selalu mengambil masa selama tujuh hari.
“Tujuh hari adalah tempoh paling panjang untuk saya. Itu pun saya pergi rumah mak saya. Sekarang sudah berkurangan jadi tiga hari.
“Tetapi Scha dalam masa satu jam sahaja dia sudah boleh kembali seperti biasa. Kalau bergaduh pagi, malam kami dah boleh makan bersama.
Tetapi saya seorang yang suka mengambil masa untuk berfikir. Saya perlukan masa untuk refleksi. Walaupun kadang-kadang memang salah saya.
“Selepas dua tiga hari barulah saya akan sedar itu adalah salah saya,” kongsinya.
Awal dan Scha mendirikan rumah tangga pada 4 Mei 2012. Cinta mereka berdua mula berputik selepas mengacara program Sehati Berdansa sekitar 2008.