‘Jangan bangga kecam orang, nabi tak suka’ – Adik Fattah Amin

ADIK kepada pelakon Fattah Amin yang dikenali sebagai Raihan Amin mengundang perhatian ramai apabila memuat naik kata-kata nasihat mengenai keburukan mengumpat selepas abangnya disahkan bercerai dengan bekas kakak iparnya iaitu Nur Fazura semalam.

Raihan menerusi satu perkongsian mengulang siar hantaran yang menegur individu bersikap ghibah iaitu mengumpat dan menjaja keburukan mengenai kehidupan orang lain.

“Bagi yang ada kemampuan untuk halang orang sekeliling kita daripada ghibah (mengumpat), halanglah.

Sungguh jauh lagi besar dan berat dosanya daripada orang yang dikata kalau benar apa yang dikata,” katanya.

Perkongsian tersebut turut menasihati semua individu mengelak daripada melakukan perbuatan sebegitu kerana tidak disukai Nabi Muhammad SAW terutama bagi mereka yang suka menjaga tepi kain rumah tangga orang lain.

“Nabi sayang umat yang tak ambil tahu hal rumah tangga orang, tak ambil tahu hal individu yang tiada ada kena mengena dengan dirinya. Janganlah bangga apabila pandai kecam orang sebab nabi akan sedih dan tak suka.

Yang suka ialah syaitan. Elok-elok jadi umat nabi tapi tak akan nak tukar jadi umat makhluk terlaknat?

“Jom doakan baik-baik, banyak selawat dan beristighfar,” ujarnya.

Raihan terus mencuri perhatian menerusi hantaran berbeza apabila memuat naik gambar orang tuanya bersama Fattah selain mendoakan agar ketiga-tiga insan itu sentiasa berada di bawah perlindungan Allah SWT.

Moga Allah pelihara insan-insan istimewa ini daripada dicaci dan dihina, dan Allah akan bersama-sama dengan kita semua,” jelasnya.

Raihan dalam hantaran berbeza turut mengulang siar foto Fattah ketika meraikan hari ulang tahun kelahiran Fatima baru-baru ini.

Semoga sentiasa dalam jagaan Allah buat Fatima, daddy dan mommynya (Fazura),” ujarnya.

Terdahulu, Fattah dan Fazura sah bercerai talak satu sekitar pukul 9.45 pagi semalam di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.

Lafaz itu tersebut dibuat di hadapan Hakim Syarie, Abdul Malik Soleh.

Pada 13 September lalu, Fazura mengejutkan ramai apabila memfailkan permohonan cerai terhadap Fattah di mahkamah sama.

Sekadar info, Fazura dan Fattah yang mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 dikurniakan seorang zuriat, Nur Fatima Aisya yang kini berusia empat tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok