MEMBUKA lebih banyak peluang pekerjaan kepada pempengaruh tempatan, Influenstar Asia Dot Com memacu misi jitu untuk memayungi pensohor media sosial terutama yang bergerak secara individu.
Di bawah kendalian JEMZ Group International Sdn. Bhd, pembentukan platform terbabit bertujuan menyokong industri gig negara dan pada masa sama membuka peluang lebih luas kepada penggiatnya.
‘Gig economy’ atau trend sistem pasaran terkini memberi kebebasan kepada organisasi dan pekerja untuk menjalani kontrak kerja suka sama suka yang membawa manfaat terhadap semua pihak.
Pengerusi JEMZ Group, Farahida Fauzi berkata, pihaknya turut menawarkan latihan kepada anak muda yang berminat menjadi pempengaruh dengan modul latihan yang direka khas mengikut aliran terkini dan dilatih sendiri pensohor berpengalaman dalam bidang kandungan kreatif.
“Platform ini menyediakan sokongan kecemerlangan pengurusan termasuk penyediaan kontrak untuk melindungi hak dan kepentingan pempengaruh, pembangunan kempen pemasaran dan kandungan kreatif.
“Ini juga bermatlamat membantu pempengaruh meningkatkan kemahiran menjadi influencer yang lebih bertanggungjawab serta beretika agar dapat membina kepercayaan berkekalan dengan pengikut dan pelanggan,” katanya ketika pelancaran Influenstar Asia Dot Com.
Majlis sama turut memperkenalkan pempengaruh maya pertama di Malaysia, Jazmine hasil kerjasama dengan Warnakala Studios, pemilik harta intelek (IP) Didi & Friends serta Makania.
Pelancaran disempurnakan Pengerusi Social and Economic Research Initiative (SERI), Nurul Izzah Anwar selain dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif JEMZ Group dan pengasas Influenstar Asia Dot Com, Jemizan Abu Bakar.
Sementara itu, Jemizan berkata, Jazmine adalah pempengaruh era digital yang bukan sahaja berfungsi sebagai pensohor maya bahkan penentu arah aliran industri selaras dengan motto Influenstar Asia Dot Com ‘Let’s influence the future!’.
“Jazmine mendapat sokongan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang direka untuk mentakrifkan semula cara jenama dan khalayak berinteraksi seperti membuat ulasan produk, perkhidmatan dan acara dalam sfera digital.
“Sebagai salah satu pempengaruh di bawah Influenstar Asia Dot Com, Jazmine akan memimpin kempen inovatif dengan mencipta kandungan yang relevan untuk generasi digital.
“Pengenalan Jazmine juga menunjukkan transisi dunia digital yang sentiasa berkembang pesat,” ujarnya.
Jazmine turut memperkenalkan single pertama serta video muziknya yang berjudul In The Zone sentuhan JD Wong dari kumpulan Pop Shuvit.
Lebih 130 tetamu memeriahkan acara termasuk pelakon, Nazrief Nazri, penyanyi Baggio serta barisan pensohor seperti CEO Batu, Elle Fara, Kak Dya, Papayen, Nine, Eizat Halim, Taleeb Mizad, Zona dan Selamat. – HIBGLAM