Indera jadi pembuka tirai Festival Filem Asia Pasifik

PUSAT peranginan popular, Genting Highlands menjadi lokasi penganjuran Festival Filem Asia Pasifik ke-61 (APFF61) yang dijadualkan berlangsung pada 29 November hingga 1 Disember depan.

Menjadikan Hotel Wyndham Ion Majestic sebagai saksi kepada penganjuran acara yang penuh prestij dan tertua di rantau ini, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Kamil Othman berkata, penganjuran APFF61 secara tidak langsung memberi peluang kepada anak seni tempatan menambah pengetahuan berhubung pasaran filem antarabangsa.

“Penganjuran acara ini dapat membuka peluang buat golongan pengkarya saling bertukar pandangan dan ideologi dalam menghasilkan naskhah.

“Bukan sahaja buat golongan pembikin filem, tetapi ini juga merupakan peluang untuk pelakon tempatan mengembangkan bakat ke luar negara,” katanya ketika ditemui dalam majlis sidang media APFF61 di Puchong, Selangor pada Isnin lalu.

KAMIL (tengah) dan Aron (dua dari kanan) bersama wakil penganjur APFF61 yang akan diadakan selama tiga hari bermula 29 November hingga 1 Disember depan. -SYAKIR RADIN

Sementara itu, Penerbit Eksekutif LOMO Pictures dan penganjur acara, Aron Koh berkata, acara tersebut akan diserikan dengan persembahan artis terkenal Hong Kong termasuk barisan pelakon popular Korea Selatan, Jepun dan beberapa negara lain.

Tentu sahaja kehadiran nama besar itu akan menarik perhatian peminat, sekali gus mengukuhkan portfolio festival berkenaan.

“APFF menghimpunkan bakat-bakat cemerlang dari industri filem Asia-Pasifik.

“Kami menekankan bahawa pihak penganjur masih dalam proses meneliti dan memilih barisan artis yang akan menyertai festival tersebut dan akan di maklumkan pada penghujung Oktober ini” jelasnya.

APFF diadakan secara tahunan Federation of Motion Picture Producers in Asia Pacific (FPA) selain telah wujud sejak 1953.

Festival Filem Asia Pasifik ke-61 yang akan berlangsung November ini kembali ke Malaysia sebagai tuan rumah.

Tahun ini, Malaysia sekali lagi bertindak sebagai tuan rumah selepas 1959, 1980, 1990 dan 2005.

Festival tersebut berfungsi sebagai platform penting untuk mempamerkan bakat dan kreativiti sinematik terbaik dari Asia-Pasifik selain dapat menghimpunkan pembikin filem, artis, para pemain industri dan peminat bagi meraikan kecemerlangan karya filem rantau ini.

Tidak hanya itu, APFF juga bertujuan mempromosikan pertukaran budaya, ekspresi seni, pendidikan, pelancongan, dan kerjasama ekonomi serantau.

Merancakkan penganjuran, filem seram terbaharu tanah air, Indera lakonan Shaheizy Sam, Azira Shafinaz dan Samara Kenzo arahan Ming Jin Woo telah dipilih sebagai filem pembukaan APFF61.

Acara kemuncak APFF61 pula akan memberi penghormatan kepada pencapaian cemerlang pengkarya dalam penghasilan filem, mengiktiraf filem sekali gus mengiktiraf sumbangan mereka kepada pembangunan industri perfileman Asia Pasifik. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok